KERAJAAN komited dan proaktif menetapkan rangsangan ekonomi secara berkala selain memastikan setiap bantuan kewangan disasarkan untuk mengelakkan pembaziran.
KERAJAAN komited dan proaktif menetapkan rangsangan ekonomi secara berkala selain memastikan setiap bantuan kewangan disasarkan untuk mengelakkan pembaziran.

Kuala Lumpur: Sejumlah 21 inisiatif daripada 89 yang diumumkan kerajaan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perniagaan besar ketika pandemik Covid-19 selesai dilaksanakan setakat 15 Jun.

Majoriti inisiatif itu berada di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang diumumkan kerajaan pada Mac 2020, diikuti inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin) serta Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Di bawah bantuan yang telah disempurnakan ini, sejumlah RM122.06 bilion peruntukan diagihkan sejak Mac 2020.

Setakat ini, 33 inisiatif sedang dilaksanakan terdiri daripada empat di bawah Prihatin, enam di bawah Penjana, 14 di bawah peruntukan Belanjawan 2021 serta sembilan di bawah inisiatif Permai.

Inisiatif ini membabitkan peruntukan berjumlah RM41.45 bilion.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan komited dan proaktif menetapkan rangsangan ekonomi secara berkala selain memastikan setiap bantuan kewangan disasarkan untuk mengelakkan pembaziran.

"Tujuannya sudah tentunya bagi memastikan setiap program rangsangan akan menjana hasil positif terutama daripada mereka yang terkesan akibat daripada pandemik.

"Ini sememangnya satu tugas yang sukar bagi kerajaan kerana ia perlu mengimbangi kesukaran dalam jangka masa pendek di samping menangani cabaran masa depan terutama dalam konteks produktiviti dan meningkatkan tahap daya saing," katanya kepada Bernama, semalam.

Sementara itu, kerajaan belum memulakan 35 inisiatif daripada jumlah yang diumumkan yang menyediakan lebih banyak peluang kepada PMKS dan syarikat besar untuk meraih manfaat daripada bantuan kerajaan.

Kebanyakan daripada inisiatif yang belum dimulakan berada di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan Mac tahun ini serta insiatif lanjutan yang dipanggil Pemerkasa Tambahan yang diperkenalkan pada Mei baru-baru ini.

Peruntukan berjumlah kira-kira RM42.16 bilion bakal tersedia untuk dimanfaatkan PMKS dan perniagaan besar kerana insiatif ini masih dalam proses awal.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata, isu-isu yang berkait dengan kapasiti dalam kalangan PMKS terutama dalam bahagian teknologi dan pendigitalan perlu diberi lebih tumpuan.

"PMKS perlu menyedari landskap perniagaan sedang berubah dan mereka perlu menyesuaikan diri dan mendepani cabaran ini dengan efektif.

"Jadi peranan kerajaan untuk menyediakan latihan dan peluang bagi mereka untuk meningkatkan capaian pasaran dan penawaran produk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 7:00 AM