Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Seperti dijangka, ahli korporat perbankan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilantik semula sebagai Menteri Kewangan untuk menganggotai kabinet baharu yang dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri mengumumkan senarai anggota Jemaah Menteri pada jam 11 pagi ini membuat pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen.

Tengku Zafrul dilantik buat kali pertama sebagai Menteri Kewangan pada 9 Mac 2020.

Dalam tempoh beliau sebagai Menteri Kewangan, beliau turut dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19.

Di bawah Kementerian Kewangan (MoF), Tengku Zafrul turut bertanggungjawab untuk pelan pemulihan serta Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Sepanjang tempohnya di kementerian, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion untuk menangani krisis kesihatan sejak pandemik Covid-19 diumumkan tahun lalu.

Pakej rangsangan ekonomi itu ialah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS (Tambahan), pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), Pemerkasa Tambahan serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Tengku Zafrul yang berusia 48 tahun dilahirkan di Kuala Lumpur pada 25 Jun 1973, menerima pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar, sebelum melanjutkan pelajaran di University of Bristol, United Kingdom dan memiliki Ijazah Sains (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan.

Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (MA) dalam bidang Kewangan dan Pengurusan daripada University of Exeter serta Fellow Chartered Banker dengan Asian Institute of Chartered Bankers.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam video ringkas dikongsi di laman Facebooknya berkata, pelantikan semula ke dalam Kabinet baharu pimpinan Ismail Sabri adalah amanah yang sangat besar.

Beliau berkata, bersama pasukan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan akan terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.

"Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, di atas kepercayaan beliau melantik saya sebagai Menteri Kewangan.

"Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya," katanya memetik Hadis Riwayat Bukhari.

Tengku Zafrul antara yang dikekalkan dalam barisan Kabinet Ismail Sabri yang diumumkan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 12:10 PM