PEMERKASA menyasarkan untuk menguruskan Covid-19 dengan lebih berkesan dan memacu pertumbuhan negara.
PEMERKASA menyasarkan untuk menguruskan Covid-19 dengan lebih berkesan dan memacu pertumbuhan negara.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan Perdana Menteri Rabu lalu bukanlah penyelesaian muktamad kepada senario Covid-19 dan ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Pemerkasa sememangnya menyasarkan untuk menguruskan Covid-19 dengan lebih berkesan dan memacu pertumbuhan negara.

Namun, katanya ia perlu dilihat sebagai sebahagian dari pendekatan 6R kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

6R sebagai Strategi Pemulihan Negara terdiri daripada Resolve (Ketegasan), Resilient (Ketahanan), Restart (Memulakan Semula), Recover (Pemulihan), Revitalise (Memperkasa) dan Reform (Menyusun Semula).

Pada masa ini, negara berada di antara tahap 5 dan 6 Strategi 6R iaitu di antara Revitalize (Memperkasa) dan Reform (Menyusun Semula) di mana Pemerkasa berfungsi sebagai pengantara ke arah pemulihan ekonomi.

Katanya, pendekatan strategik dan menyeluruh 6R tetap menjadi garis panduan untuk kerajaan menangani Covid-19 dan memastikan kelangsungan ekonomi.

"Fokus utama kerajaan sekarang memperkasa rakyat dan perniagaan agar mereka mampu bangun semula dan pulih sepenuhnya.

"Alhamdulillah, pada minggu ini sudah tercatat satu lagi detik penting dalam usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19 serta memulihkan negara daripada impak pandemik ini dengan pengumuman Pemerkasa.

"Namun, kita perlu ingat Pemerkasa bukan penyelesaian muktamad kepada senario Covid-19 dan ekonomi kita. Memang betul, Pemerkasa menyasarkan untuk menguruskan Covid-19 dengan lebih berkesan dan memacu pertumbuhan negara, tetapi ia perlu dilihat sebagai sebahagian dari pendekatan 6R kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi," katanya dalam laporan Laksana ke-45 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), semalam.

Katanya, walaupun ada pihak mempertikaikan nilai program Pemerkasa, beliau menegaskan semua pakej yang diumumkan selama ini saling melengkapi dan menyokong pertumbuhan ekonomi secara berterusan.

"Bagi tahun 2020, sebanyak RM305 billion diperuntukkan bagi membantu rakyat, perniagaan dan ekonomi mendepani cabaran Covid-19. Semua pakej ini menyumbang tiga hingga empat mata peratusan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2020.

"Bagi tahun ini pula, RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021 dan semua inisiatif di bawah belanjawan ini masih dalam proses pelaksanaan.

"Ia tidak termasuk pakej bantuan Kita Permai bernilai RM15 bilion dan terkini Pemerkasa bernilai RM20 bilion," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 7:10 AM