BANK Rakyat bakal melancarkan RAKYATpreneur 2.0 bermula Julai sehingga hujung tahun ini.
BANK Rakyat bakal melancarkan RAKYATpreneur 2.0 bermula Julai sehingga hujung tahun ini.

Kuala Lumpur: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) bakal melancarkan RAKYATpreneur 2.0 bermula Julai sehingga hujung tahun ini dengan peruntukan dana hampir RM2 juta bagi menyantuni lebih 200 orang usahawan asnaf yang bakal dipilih dari seluruh negara.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, ia adalah berikutan kejayaan program rintis RAKYATpreneur yang dilancarkan pada Disember 2020 yang telah berjaya meningkatkan hasil jualan perniagaan 20 orang usahawan mikro antara 20 dan 30 peratus dalam tempoh kurang enam bulan.

"Dana itu akan diagihkan kepada perniagaan daripada latar belakang yang kurang berkemampuan seperti usahawan asnaf yang berpotensi tinggi untuk memperluas perniagaan dan maju dalam sektor keusahawanan.

"Peserta RAKYATpreneur 2.0 yang layak akan diberi latihan dan bimbingan serta pemantauan secara inklusif selama enam bulan dengan penyediaan modul yang lebih komprehensif," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pelbagai program dan inisiatif Rakyatpreneur 2.0 dirancang bagi memastikan ia terus membantu meningkatkan pendapatan peserta sekura ng-kurangnya sebanyak 30 peratus dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan.

"Kami yakin dapat meneruskan program ini pada skala yang lebih besar berdasarkan penilaian RAKYATpreneur rintis yang majoriti pesertanya menunjukkan hasil jualan bulanan yang meningkat.

"Peserta juga lebih berkreativiti dalam mempelbagaikan kanvas perniagaan dengan mencipta penjenamaan sendiri dan jualan dalam talian," katanya.

Bagi yang berminat menyertai program berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut dan borang pendaftaran di laman web rasmi Bank Rakyat www.bankrakyat.com.my bermula 1 hingga 31 Mei 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 7:01 AM