Noh Omar berucap sebelum melancarkan program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2022 di Menara Kembar Bank Rakyat. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Noh Omar berucap sebelum melancarkan program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2022 di Menara Kembar Bank Rakyat. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL

BANK Rakyat komited memperkasa usahawan menerusi program RAKYATpreneur dan UNIpreneur bagi 2022 dengan peruntukan dana keseluruhan RM4 juta untuk dimanfaatkan 800 usahawan berpotensi, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan peserta sehingga 30 peratus.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, 106 peserta atau 62.5 peratus daripada 170 peserta RAKYATpreneur secara keseluruhan bagi sesi 2021 berjaya merekodkan peningkatan dalam jualan.

Katanya, 67 peratus usahawan mahasiswa Bank Rakyat UNIpreneur mencatat peningkatan jualan selepas enam bulan pembabitan dalam program rintis itu.

"Saya berbangga dengan komitmen Bank Rakyat dalam memainkan peranan penting sebagai enjin pertumbuhan menggerakkan semula sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dapat mentransformasikan dan memperkasa ekonomi negara dan Keluarga Malaysia.

"Kami menjangka setiap peserta dilatih melalui program ini dapat meningkatkan jumlah pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding biasa," katanya di majlis pelancaran RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur bagi tahun 2022 di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, pelaksanaan RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur ini seiring aspirasi Rangka Tindakan Kelestarian yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25).

Katanya, ia dalam mengutamakan keseimbangan operasi perniagaan dan tanggungjawab bank terhadap komuniti dengan memberi keutamaan kepada kemajuan ekonomi yang berterusan dan mampan.

Beliau berkata, kedua program tahun ini dirancang dengan lebih komprehensif dan ditambah baik daripada siri sebelum ini bagi memastikan ia relevan dan membantu meningkatkan pendapatan peserta sehingga 30 peratus.

"Sejak diperkenalkan, program ini mencatat prestasi baik serta kejayaan membanggakan buat peserta.

"Harapan kami agar usahawan ini bergerak daripada status mikro kepada kecil, kecil ke sederhana dan semoga suatu hari nanti mereka ini mampu menjadi antara Syarikat Tersenarai Awam," katanya.

Dalam pada itu, Abd Rani berkongsi kejayaan di mana menerusi RAKYATpreneur dan UNIpreneur sebelum ini program itu berjaya membantu ramai usahawan.

Antaranya, Latifah Jaafar, 59, dari Selangor yang mesra dikenali sebagai Mak Wan iaitu pengusaha perniagaan pes makanan yang kini berjaya mengeskport produknya dengan menembusi pasaran antarabangsa.

Selain itu, jenama Taco's yang mengusahakan perniagaan tortilla oleh Mohd Rizuan Abdul Hamid, 34, dari Perak juga hasil bimbingan daripada program RAKYATpreneur 2.0 dan kini perniagaannya semakin berkembang sehingga berjaya membuka sembilan kios di Perak dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 7:00 AM