GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Program RAKYATpreneur 2.0 oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dengan peruntukan dana berjumlah RM2 juta dilancarkan, hari ini.

Ia disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan program itu kesinambungan daripada kejayaan program rintis RAKYATpreneur yang dilancarkan pada Disember tahun lepas.

Wan Junaidi berkata, seramai 200 usahawan asnaf yang berpotensi dari seluruh negara akan dipilih mulai hari ini untuk memanfaatkan inisiatif itu.

"Ia amat bertepatan dengan usaha kementerian untuk membantu membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan B40 termasuk usahawan informal, usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana bagi memastikan pemulihan dan kelestarian operasi perniagaan ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Justeru, saya berpendapat kesinambungan program ini dapat mencapai objektifnya dan berupaya membantu lebih ramai lagi usahawan asnaf bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial mereka seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan, di sini.

Program rintis RAKYATpreneur sudah berjaya menunjukkan peningkatan sebanyak 10 hingga 15 peratus dari segi keuntungan bulanan perniagaan 20 orang peserta dengan membabitkan keseluruhan dana sebanyak RM100,000.

Peserta RAKYATpreneur 2.0 yang layak akan diberi latihan dan bimbingan serta pemantauan secara inklusif merangkumi pelbagai aspek seperti etika keusahawanan, pembangunan idea perniagaan, perakaunan dan pengurusan perniagaan serta pemasaran digital dan penjenamaan selama enam bulan dengan penyediaan modul yang lebih komprehensif dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, suntikan dana itu diharapkan dapat membantu peserta RAKYATpreneur dalam usaha meneruskan dan membangunkan perniagaan mereka seterusnya merealisasikan usaha melahirkan lebih ramai usahawan sosial.

"Pelaksanaan RAKYATpreneur 2.0 ini telah dirancang dengan lebih komprehensif bagi memastikan ia terus relevan dan membantu meningkatkan pendapatan peserta sehingga 30 peratus serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 4:22 PM