Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Seramai 3,000 usahawan pasar tani di negara ini dijangka akan menerima manfaat melalui projek pendigitalan antara MukminPay Sdn Bhd dan Koperasi FAMA Bhd (Kofama) sepanjang 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MukminPay, Mohd Yusni Ismail berkata, proses pendigitalan itu akan dilakukan secara berperingkat membabitkan 302 pasar tani di seluruh Malaysia.

Katanya, sebagai permulaan sebanyak 81 pasar tani di sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor akan disediakan kemudahan transaksi pembayaran digital.

"Usaha pendigitalan usahawan pasar tani turut mendapat sokongan rakan strategik daripada Bank Mualamat, Digi, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan dan Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd).

"Kami memilih Pasar Tani Danau Kota, Setapak Kuala Lumpur sebagai pasar tani pertama dalam menjayakan projek pendigitalan pertama di negara ini melalui aplikasi MukminMart.

"Seramai 34 peniaga pasar tani Danau Kota mengambil bahagian dalam projek ini yang sudah pun berjalan selama sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kad debit Bank Mualamat kepada usahawan pasar tani Danau Kota di sini, hari ini.

ZURY Rahimee (dua dari kanan) menyampaikan mock-up Kad Debit Bank Muamalat kepada Nurhamah Mokhtar, (dua dari kiri) di di Pasar Tani Danau Kota. FOTO Fariz Iswadi Ismail
ZURY Rahimee (dua dari kanan) menyampaikan mock-up Kad Debit Bank Muamalat kepada Nurhamah Mokhtar, (dua dari kiri) di di Pasar Tani Danau Kota. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Hadir sama, Ketua Bahagian Perbankan Konsumer Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abidin; Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Muhammad Mustahapa Awang; Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail; Pengerusi Kofama, Mansor Omar dan Ketua Bahagian Rakan Kongsi Strategik dan Pembangunan Perniagaan Jabatan Perniagaan Digi, Tony Tan Wee Beng.

Mohd Yusni berkata, peniaga yang terbabit juga turut mengambil peluang mendaftarkan akaun perniagaan dengan Bank Mualamat dan menerima kad debit serta mendapat kemudahan DuitNow QR untuk transaksi tanpa tunai.

Beliau berkata, penyerahan kad debit kepada usahawan bermakna proses pendigitalan pasar tani melangkau ke tahap seterusnya.

Sementara itu, Zury Rahimee berkata, melalui kerjasama strategik ini, Bank Mualamat menawarkan kemudahan membuka akaun perniagaan kepada peniaga pasar tani tanpa sebarang wang komitmen dan proses dokumentasi juga lebih mudah.

"Kami komited memperkasa usahawan dan peniaga mikro dalam memberi mereka peluang mengadaptasi digital sekali gus meningkatkan kewangan mereka.

"Bank Muamalat juga akan memilih peniaga yang berpotensi untuk menawarkan pembiayaan bersesuaian dan memberi latihan menggunakan sistem digital DuitNow QR untuk mengurangkan transaksi tunai," katanya.

Zury berkata, menerusi DuitNow juga, peniaga sudah tidak perlu risau kerana rekod kewangan (transaksi jual beli) tersimpan dalamnya dan boleh dilihat pada bila-bila.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 3:31 PM