MAJLIS menandatangani MoU berkenaan.
MAJLIS menandatangani MoU berkenaan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Mukmin Pay Sdn Bhd dan Koperasi FAMA Berhad (Kofama) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan pendigitalan pasar tani dan semua perusahaan di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk mempermudah dan membuka peluang kepada usahawan menggunakan pemasaran mudah alih.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Mukmin Pay berkata, pihaknya dan Kofama bersetuju menandatangani usaha sama ini bagi menyahut seruan kerajaan ke arah pendigitalisasi perniagaan melalui kaedah tanpa tunai sebagai salah satu inisiatif norma baharu bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

"Mukmin Pay adalah anak syarikat di bawah Angkasa Mukmin iaitu syarikat rakan niaga strategik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sepanjang tempoh lima tahun, sejak tahun 2016.

"Mukmin Pay juga sudah mewujudkan aplikasi pasaran penghantaran makanan mudah alih (e-hailing) iaitu Mukmin Mart bagi mempelbagaikan perkhidmatan dan perniagaan menerusi penyelesaian digital.

"Justeru, program ini disasarkan dapat membantu usahawan di bawah kelolaan FAMA yang terjejas berikutan situasi pandemik dengan meningkatkan kadar jualan melalui aplikasi Mukmin Mart serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Program ini juga adalah salah satu inisiatif Angkasa sebagai badan gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan untuk membantu dan membimbing koperasi FAMA dan semua koperasi usahawan pasar tani di seluruh negara bagi memulihkan aktiviti perniagaan.

Bank Muamalat selaku rakan strategi Mukmin Pay turut memberi sokongan penuh dengan menawarkan perkhidmatan pembukaan akaun baharu dan perbankan internet kepada semua usahawan FAMA bagi memudahkan pengurusan rekod transaksi membabitkan penjualan dan pembelian.

Rekod transaksi ini akan memudahkan usahawan untuk menerima bantuan, insentif atau pinjaman perniagaan.

Selain itu, pihak FAMA Wilayah mengesyorkan Mukmin Pay untuk memulakan projek perintis Mukmin Mart bermula 28 Februari 2021 di Pasar Tani Danau Kota dan 1 Mac 2021 di Myfarm Outlet Kasih Putrajaya.

Antara kelebihan Mukmin Mart ialah pembelian 'Walk-in Tanpa Tunai' di mana pengguna digalakkan membayar menggunakan e-dompet sedia ada yang terdapat dalam aplikasi Mukmin Mart dengan hanya mengimbas kod QR tersedia di Pasar Tani (tanpa tunai menggunakan e-wallet/ FPX/ Kad Kredit).

Mukmin Mart juga menawarkan perkhidmatan Pesanan Awal di mana pengguna boleh membuat pesanan di dalam aplikasi sebelum Pasar Tani dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 3:20 PM