MAJLIS menandatangani dokumen diadakan secara maya. FOTO TM ONE
MAJLIS menandatangani dokumen diadakan secara maya. FOTO TM ONE
BERNAMA

Kuala Lumpur: TM ONE, unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awam Telekom Malaysia Bhd (TM) berserta anak syarikat milik penuhnya, PT VADS Indonesia memeterai perjanjian perniagaan dengan firma Korea, FNS Value Co Ltd (FNSV), baru-baru ini.

Dalam kenyataan bersama pada Selasa, pihak terbabit berkata, perjanjian itu membabitkan pelantikan PT Vads sebagai pengedar tunggal penyelesaian Pengesahan Blockchain Terjamin (BSA) daripada FNSV bagi pasaran Indonesia.

Majlis menandatangani dokumen secara maya itu dilakukan oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE Ahmad Taufek Omar; Ketua Pegawai Eksekutif PT Vads Saravanan Belusami dan Ketua Pegawai Eksekutif FNSV Jeon Seung Ju dengan menggunakan Penyelesaian Tanda Tangan Digital TM ONE (TM ONE Digital Signature Solution-TMODS).

BSA merupakan penyelesaian pengesahan tanpa kata laluan dan dijana oleh teknologi pengesahan blockchain yang mustahil untuk ditembusi.

Menurut Ahmad Taufek, kerjasama berkenaan penting bagi PT VADS untuk terus memperkukuh kedudukan dalam penyediaan perkhidmatan keselamatan terurus yang dipertingkat kepada pelanggan di Indonesia.

"Kami percaya bahawa penyelesaian BSA ini merupakan jawapan kepada isu-isu keselamatan bagi transaksi digital dan ini penting kerana hampir semua transaksi dilakukan secara digital di dalam persekitaran perniagaan masa kini.

"Menerusi BSA, pengguna tidak lagi perlu mengingati kata laluan bagi transaksi pada mana-mana peranti selain membuka jalan secara meluas untuk aspek gaya hidup dan perniagaan yang lebih digital," katanya.

Dalam pada itu, pihak terbabit dalam kerjasama berkenaan juga menyifatkan usaha tersebut dapat memberi manfaat kepada semua perniagaan dan industri yang memerlukan perkhidmatan pengesahan dipercayai untuk web, log masuk mudah alih serta akses selamat untuk transaksi berasaskan dalam talian, terutamanya bagi Internet Benda (IoT) dan perkhidmatan-perkhidmatan pintar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 5:03 PM