IMRI Mokhtar.
IMRI Mokhtar.

TELEKOM Malaysia Bhd (TM) mencadangkan penyusunan semula di peringkat dalaman yang membabitkan pemindahan perniagaannya di Malaysia kepada entiti operasi tunggal yang dinamakan sebagai TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech).

TM berkata, penyusunan semula dijangka selesai pada 31 Disember 2023.

TM berkata, 11 anak syarikat yang terbabit ialah Cybermall Sdn Bhd, Mobikom Sdn Bhd, Telekom Applied Business Sdn Bhd, Telekom Enterprise Sdn Bhd, Telekom Multi-Media Sdn Bhd, Telekom Sales and Services Sdn Bhd, Telekom Technology Sdn Bhd, TM Info-Media Sdn Bhd, TM Net Sdn Bhd, VADS Bhd, dan VADS Lyfe Sdn Bhd.

Menurutnya, di bawah perjanjian penggabungan bersyarat itu, semua aset dan liabiliti dikenal pasti akan dipindahkan dan diberikan hak kepada TM Tech berkuat kuasa pada dan mulai 1 Mac 2023 atau tarikh yang mungkin dipersetujui bersama oleh pemindah dan TM Tech serta seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.

TM berkata, sebagai sebahagian daripada cadangan penyusunan semula dalaman itu, pemindah terpilih akan dibubarkan pada 31 Disember 2023 melainkan TM dan VADS yang tidak akan dibubarkan.

Menurutnya, harga belian perlu dibayar untuk pemindahan dan pemberian hak bagi aset dan liabiliti dikenal pasti oleh pemindah kepada TM Tech adalah jumlah nilai buku bagi aset yang dikenal pasti ditolak dengan jumlah nilai buku bagi liabiliti yang dikenal pasti ketika perniagaan pemindah ditutup pada hari terakhir perniagaan sebelum tarikh pemberian hak.

TM dalam satu kenyataan berkata penyusunan semula itu yang membabitkan Unifi, TM One dan TM Wholesale, antara lain menandakan fasa seterusnya transformasi kumpulan untuk tampil sebagai pengupaya digital Malaysia dan meningkatkan lagi kecekapan operasi, memperkemas proses serta memudahkan titik sentuh pelanggan untuk pengalaman yang lebih lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Imri Mokhtar berkata, memandangkan gaya hidup digital, persaingan yang meningkat dan jangkaan pihak berkepentingan akan menambah baik industri, justeru, penggabungan perniagaan ini kepada satu entiti operasi akan membolehkan TM menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelbagai segmen pelanggan serta menyediakan keperluan pelanggan dengan lebih cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 6:15 AM