AHMAD Zahid (dua dari kanan) selepas Majlis Pelancaran Zcert: Sistem Dokumen Kelayakan Disahkan Digital Rentas Sempadan Blockchain Zetrixxinghuo
AHMAD Zahid (dua dari kanan) selepas Majlis Pelancaran Zcert: Sistem Dokumen Kelayakan Disahkan Digital Rentas Sempadan Blockchain Zetrixxinghuo

Kuala Lumpur: Zetrix yang dioperasikan oleh MyEG Services Bhd memperkenalkan platform Kelayakan Digital terbaharu yang menawarkan warganegara China pilihan mendigitalkan kad pengenalan atau lesen memandu mereka pada blockchain yang boleh dikemukakan semasa melancong keluar negara.

Menurut Pegarah Urusan Kumpulan MyEG. Wong Thean Soon perkhidmatan ini akan dimulakan dengan mendigitalkan kad pengenalan atau lesen memandu warganegara China sebagai Bukti Kelayakan Boleh Disahkan (VC) pada Xinghuo International, iaitu gerbang antarabangsa blockchain awam Negara China.

"Melalui Zetrix, yang disambungkan dengan Xinghuo, VC bagi kad pengenalan atau lesen memandu boleh dikemukakan di luar negara untuk disahkan oleh mana-mana pihak yang ingin mengesahkan identiti atau data lesen memandu," katanya pada Majlis Pelancaran Zcert: Sistem Dokumen Kelayakan Disahkan Digital Rentas Sempadan Blockchain Zetrixxinghuo, di sini.

Majlis pelancaran itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zetrix adalah blockchain awam lapisan-1 yang memudahkan kontrak pintar dan memberikan privasi, keselamatan serta skalabiliti yang berfungsi sebagai gerbang blockchain dalam memudahkan perdagangan global dengan melaksanakan perkhidmatan Web3 (visi untuk web berasaskan blokchain baharu).

Katanya, pelancaran itu juga menandakan pengkomersialan kerjasama antara MyEG. dan Guangxi Beitou IT Innovation Technology Investment Group Co Ltd (Beitou), sebuah syarikat milik Negara China dan anak syarikat IT Guangxi Beibu Gulf Investment Group yang disenaraikan sebagai salah satu daripada 500 perusahaan terbesar di China.

"Disebabkan oleh sifat blockchain yang kekal dan tidak boleh diubah, pihak yang ingin mengesahkan dokumen akan mendapat jaminan VC dan semua data yang terkandung dalam dokumen berkenaan adalah sah dan tidak diolah," katanya.

Dengan adanya platform ini, Wong berkata, data peribadi tidak lagi perlu dikongsi secara meluas dan kesemuanya kepada penyedia perkhidmatan seperti bank atau telco dan ini lonjakan teknologi paling penting berikutan kebergantungan yang kian meningkat pada perkhidmatan digital.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi merangkap Pengurus Besar Kumpulan Guangxi Beibu Gulf Investment Group Huang Xuejun berkata, MyEG dan syarikat berkenaan juga merancang mempromosi dan mengendalikan platform pengesahan rentas sempadan itu di China dan Malaysia untuk lesen memandu elektronik.

"Ini dapat menyelesaikan secara efektif masalah-masalah seperti proses pengesahan yang rumit, prosedur pengesahan yang tidak mematuhi peraturan dan kesulitan dalam penggunaan pengesahan rentas sempadan, yang secara langsung memudahkan pertukaran rentas sempadan antara warganegara China dan Malaysia," katanya.

Tambahnya, Malaysia yang mempunyai prospek pembangunan yang cerah dan persekitaran perniagaan yang kondusif menjadi salah satu destinasi utama pelaburan dan perniagaan bagi syarikat China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:03 AM