Penularan pandemik Covid-19 menganggu pasaran hartanah bagi 2020.
Penularan pandemik Covid-19 menganggu pasaran hartanah bagi 2020.

Kuala Lumpur: Jumlah hartanah kediaman siap dibina tidak terjual berkemungkinan kekal tinggi pada tahun ini berdasarkan kepada paras pendapatan semasa, lokasi dan harga produk, demikian menurut Rahim & Co International Sdn Bhd.

Pengarah Penyelidikannya, Sr Sulaiman Saheh berkata, setakat suku ketiga 2020, terdapat 57,390 rumah siap tidak terjual membabitkan hartanah kediaman, pangsapuri khidmat dan SoHo bernilai RM42.49 bilion.

Katanya, tiga negeri iaitu Johor, Selangor dan Kuala Lumpur kekal mempunyai jumlah rumah siap tidak terjual paling tinggi di Malaysia iaitu masing-masing 33,000 unit, 87,000 unit dan 7,800 unit.

Tegasnya, negeri lain seperti Perak dan Pulau Pinang juga melaporkan jumlah rumah siap tidak terjual yang tinggi iaitu sekitar 4,000 unit di setiap negeri.

"Hartanah yang terletak di kawasan bandar masih menerima permintaan kukuh dan berkemungkinan boleh mengurangkan masalah ini jika harganya diselaraskan.

"Apa yang kami lihat ketika ini pemaju menawarkan lebih banyak diskaun terhadap projek mereka di samping Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2.0.

"Secara keseluruhan, kami berpandangan jumlah rumah siap tidak terjual berkemungkinan tidak akan turun dengan ketara tahun ini. Ia mungkin akan stabil, tetapi angkanya dijangka terus tinggi," katanya pada sidang media selepas pelancaran laporan tahunan 'Kajian Rahim & Co - Tinjauan Pasaran Hartanah 2020/2021' secara maya, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Rahim & Co, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman; Ahli Lembaga Pengarah, Sr Chee Kok Thim, Ketua Pegawai Eksekutif Ejen Harta Tanah, Siva Shanker dan Pengarah Cawangan Petaling Jaya, Sr Choy Yue Kwong.

Sementara itu, Siva berkata, ketersediaan vaksin Covid-19 dan sentimen lebih baik pada tahun ini boleh membantu mengurangkan masalah rumah siap tidak terjual.

"Saya bersetuju bahawa masalah ini tidak akan berkurangan dengan ketara kerana kita mempunyai jumlah kediaman siap tidak terjual yang cukup tinggi.

"Namun, kita boleh menjangkakan pasaran kediaman untuk kembali pulih sedikit dan barangkali meningkat sedikit didorong oleh kejayaan program vaksin dan sentimen lebih baik," katanya.

Laporan terkini Rahim & Co mendapati, keseluruhan pasaran hartanah mencatatkan 204,721 transaksi bernilai RM80.71 bilion pada sembilan bulan pertama 2020.

Ia menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 15.8 peratus dari segi jumlah dan 21.6 peratus dari segi nilai nilai berbanding sembilan bulan pertama 2019.

Ini juga menyekat momentum pemulihan sektor hartanah yang dilihat bermula pada tahun 2018/2019.

Penularan pandemik Covid-19 membawa gangguan dan halangan ke atas pasaran hartanah negara bagi 2020 dan menyebabkan situasi menjadi lebih mencabar.

Sebagai sub-sektor pasaran hartanah yang terbesar, aktiviti transaksi hartanah kediaman menunjukkan penurunan sebanyak 14.3 peratus dari segi bilangan dan 14.8 peratus dari segi nilai berbanding sembilan

bulan pertama 2019.

Bagaimanapun, suku ketiga mula mencatatkan peningkatan dari segi jumlah dan nilai transaksi berikutan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP) pada ketika itu.

Aktiviti pembinaan menghadapi halangan dan kelewatan dari segi tempoh siap disebabkan oleh PKP, apabila hanya 64,080 unit jumlah kediaman siap dibina pada sembilan bulan pertama 2020, penurunan sebanyak 33.4 peratus daripada tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 7:01 AM