DR Abdul Rahim
DR Abdul Rahim
HM Bisnes

INDUSTRI hartanah tempatan boleh menggunakan dasar dilaksanakan di Singapura, iaitu mengenakan denda kepada pemaju yang gagal menjual unit hartanah mereka pada satu paras ditetapkan.

Pengerusi Eksekutif Rahim & Co International Sdn Bhd (Rahim & Co), Tan Sri Dr Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, satu mekanisme baharu perlu diwujudkan bagi memastikan pemaju melaksanakan projek menepati permintaan, sekali gus mengelak berlakunya lambakan rumah tidak terjual.

“Singapura contoh terbaik dalam menangani permasalahan hartanah tidak terjual selain memastikan setiap projek hartanah menepati permintaan.

“Apa yang berlaku kini penawaran atau bekalan tinggi, tetapi tiada permintaan disebabkan beberapa faktor seperti lokasi tidak sesuai atau harga kediaman yang tinggi.

“Data Rahim & Co menunjukkan sehingga suku ketiga 2019, ada 50,008 unit kediaman siap dibina tidak terjual dengan nilai RM34 bilion.

“Lantaran itu, pihak berwajib perlu mengambil kira perkara ini. Walaupun jumlah unit kediaman tidak terjual itu belum sampai ke tahap membimbangkan tetapi angka itu tinggi dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya pada taklimat media Kajian Pasaran Hartanah Rahim & Co 2019/2020 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, pemaju hartanah juga perlu diwajib menjalankan kajian serta kertas kerja yang menyeluruh dan menyerahkannya kepada pihak berwajib sebelum sesuatu projek hartanah dilaksanakan.

Beliau berkata, ia membolehkan pihak berwajib seperti Kerajaan Pusat dan negeri serta pihak berkuasa tempatan menilai projek hartanah itu bersesuaian dengan kehendak pasaran atau sebaliknya.

Katanya, ia dapat mengelak berlakunya unit tidak terjual dan ia dapat dipantau semua pihak.

“Perlu ada kajian kertas kerja menyeluruh bagi memastikan projek hartanah itu berjaya. Jika ada kajian sebegini, ia bukan saja memberi kesenangan kepada pembel,i tetapi memberi impak kepada pemaju sendiri, mengelak daripada kerugian akibat unit tidak terjual,” katanya.

Abdul Rahim berkata, antara faktor lain menyebabkan lambakan unit kediaman tidak terjual adalah jurang besar antara paras gaji dan harga kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:30 AM