K-Pop antarabangsa, Blackpink sebagai duta Pepsi  untuk kempen terbaharu di Malaysia dan Singapura.
K-Pop antarabangsa, Blackpink sebagai duta Pepsi untuk kempen terbaharu di Malaysia dan Singapura.

PEPSI dengan rasminya mengumumkan kumpulan K-Pop wanita paling popular di dunia, Blackpink sebagai duta jenamanya yang terbaharu untuk rantau Asia Pasifik.

   Pengarah Pemasaran Kanan, Pepsico Asia Pasifik, Salman Butt berkata, pihaknya mengalu-alukan kumpulan K-Pop antarabangsa, Blackpink sebagai duta jenama untuk kempen terbaharu di Malaysia dan Singapura.

  "Blackpink mengabadikan sikap serta semangat unik generasi muda yang sangat sesuai dengan jenama Pepsi dan kami yakin bahawa penggemar muzik dan peminat Blackpink di Malaysia dan Singapura pasti teruja apabila Pepsi membawakan kumpulan pujaan muda-mudi ini lebih dekat dengan mereka.

   "Kempen terbaharu kami bertujuan menggalakkan generasi muda berusaha mengejar impian mereka dan meletakkan diri mereka di atas landasan yang betul ke arah menyerlahkan kekuatan dan keberanian yang terpendam dalam diri mereka," katanya dalam satu kenyataan, semalam.  

  Menurutnya, bagi mengukuhkan lagi kerjasama ini, filem iklan terbitan bersama oleh Pepsi dan Blackpink turut dilancarkan, mengisahkan usaha serta kehidupan keempat-empat ahli kumpulan berkenaan.    

   Sementara itu, Ketua Pemasaran Minuman PepsiCo, Jennifer Lee berkata, Pepsi x Blackpink akan melancarkan produk Pepsi edisi terhad di semua kedai 7-Eleven yang mengambil bahagian di Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata, empat ahli kumpulan Blackpink akan ditampilkan pada rangkaian produk kolaborasi ini yang mengetengahkan penampilan gaya bersikap berani dan menonjol.

  Selain itu, Pepsi juga akan melancarkan kempen pemasaran secara menyeluruh bagi meningkatkan kesedaran mengenai jenama menerusi pelbagai platform media.

  "Ada pelbagai kejutan yang akan diumumkan mulai pertengahan Januari ini yang menawarkan hadiah menarik dan banyak lagi, oleh itu pastikan anda terus mengikuti laman sosial kami untuk mendapatkan maklumat terkini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 7:00 AM