BLACKPINK tampil dengan pembawaan diri yang lebih garang dan berbisa. - FOTO Google
BLACKPINK tampil dengan pembawaan diri yang lebih garang dan berbisa. - FOTO Google
HM Digital

ANNYEONGHASEYO! Saat yang dinanti-nanti peminat BLACKPINK atau lebih dikenali sebagai Blinks akhirnya tiba. Semalam, BLACKPINK yang kembali dengan lagu baharu berjudul Pink Venom dihujani reaksi bercampur baur.

Bagaimanapun, jelas terbukti kumpulan naungan YG Entertainment itu masih memegang takhta kumpulan K-Pop wanita paling berpengaruh besar.

Muzik video (MV) lagu Pink Venom dilihgat sangat mega!

Sejak melancarkan 'teaser' lagu terbabit baru-baru ini, rata-rata pencinta muzik K-Pop tidak sabar mendengar lagu penuh Pink Venom. Ini kerana kali terakhir mereka melancarkan lagu baharu adalah dua tahun lalu.

Justeru, peminat tertunggu apa lagi pembaharuan ditampilkan kumpulan terbabit terutama pada susunan muziknya. Ini kerana lagu hit mereka sebelum ini sudah terlalu besar impaknya dan sentiasa ada suntikan segar.

Ternyata Pink Venom tidak menghampakan apabila suntikan elemen muzik tradisional antara tarikan yang cukup meyakinkan. Ia tampak bersatu sempurna dengan penampilan imej mereka yang ranggi dan moden.

Sebagaimana sebelum ini, BLACKPINK cemerlang dengan vokal padu serta nyanyian hip hop mereka. Sekali lagi, aspek itu menjadi pujian ramai untuk karya baharu yang mudah menangkap halwa telinga.

Kelebihan kumpulan ini semestinya pada aura setiap anggotanya yang terdiri daripada karakter berbeza. Kali ini mereka tampil dengan pembawaan diri yang lebih garang dan berbisa.

Lagu Pink Venom yang dimuatkan dalam album kedua Blackpink dilancarkan secara rasmi semalam, manakala album penuhn berjudul Born Pink pada 16 September depan.

Lebih manis, BLACKPINK bakal membuat persembahan pada acara berprestij Anugerah Muzik Video MTV (VMAs) yang berlangsung pada 29 Ogos ini, jam 8 malam di Prudential Center, New Jersey, Amerika Syarikat (AS).

Ia menyaksikan mereka akan tampil buat pertama kali dalam acara anugerah di AS dengan mendendangkan lagu baharunya itu. Semestinya, kemunculan pertama mereka menyanyikan lagu berkenaan sangat dinantikan.

Pada 2020, BLACKPINK menjadi artis K-Pop pertama memenangi trofi Song of the Summer menerusi How You Like That. Tahun ini mereka dicalonkan untuk kategori Best Metaverse Performance (PUBG), manakala Lisa tercalon sebagai artis solo dalam kategori Best K-Pop menerusi Lalisa.

Antara penghibur lain yang bakal menghangatkan acara itu termasuk Anitta, J Balvin, Marshmello x Khalid, Panic! At The Disco, Lizzo, Jack Harlow dan Maneskin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 6:43 AM