Zafrul berkata kadar pengangguran pada Jun 2020 susut  0.4 peratus kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus bulan sebelumnya.
Zafrul berkata kadar pengangguran pada Jun 2020 susut 0.4 peratus kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus bulan sebelumnya.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


KADAR pengangguran semakin berkurangan membuktikan pelaksanaan inisiatif Prihatin dan Penjana yang menggerakkan semula ekonomi negara menunjukkan hasil positif.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan angka dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM), kadar pengangguran semakin berkurangan berdasarkan statistik terbaharu pada Jun lalu.

"Kadar pengangguran pada Jun lalu susut 0.4 peratus kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus bulan sebelumnya.

"Meskipun ada perkembangan positif, kerajaan terus memberi perhatian dalam menangani pengangguran dalam kalangan rakyat," katanya dalam laporan Laksana ke-16 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini, semalam.

Menurutnya, tanda pemulihan ini berterusan sekiranya rakyat terus membudayakan norma baharu dalam kehidupan harian.

"Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh menyebabkan masalah lain termasuk mengganggu usaha memulihkan ekonomi dan fokus kerajaan dalam perancangan Belanjawan 2021 yang tertumpu kepada usaha merancakkan semula ekonomi selain memulihkan keyakinan pelabur," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, untuk memastikan kejayaan Belanjawan 2021, pasukan dari Kementerian Kewangan meneruskan Jelajah Belanjawan 2021 untuk mengambil maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat dan industri.

"Pada minggu lalu, pasukan Kementerian Kewangan menghadiri sesi dialog Townhall Selangor Youths have a SAY! anjuran Selangor Youth Community bersama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

"Segala input peserta program diteliti dan dipertimbangkan bagi memastikan golongan belia mendapat sokongan dari segi pendidikan awam yang baik serta ekonomi agar mereka dapat berdikari, kekal berdaya saing serta berjaya," katanya.

Menurutnya, Jelajah Belanjawan 2021 diteruskan di Pulau Pinang yang membabitkan beberapa sesi konsultansi meliputi pelbagai industri.

"Maklum balas diterima dipertimbangkan untuk memastikan Belanjawan 2021 adalah mesra rakyat dan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 7:00 AM