KOMITMEN tambahan mampu merealisasikan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan untuk rakyat.
KOMITMEN tambahan mampu merealisasikan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan untuk rakyat.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


KELULUSAN peringkat dasar Belanjawan 2021 di Parlimen pada 26 November lalu membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat dan Ahli Parlimen dalam merangka Belanjawan 2021 yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia juga adalah langkah ke arah kestabilan politik negara, sekali gus memberikan keyakinan kepada pelabur dan perniagaan.

"Antara langkah yang diambil adalah meningkatkan bantuan bagi barisan hadapan termasuk perluasan bantuan khas one-off RM300 kepada semua barisan hadapan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai kesinambungan kepada bantuan RM500 bagi barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

"Terdapat pelbagai bantuan lain yang diperkenalkan dan ditambah baik seperti program e-Belia yang dipanjangkan kepada mahasiswa IPTA dan IPTS serta digandakan kepada RM100 untuk dua juta penerima, lanjutan bantuan one-off RM500 kepada 40,000 bekas polis yang menjadikan keseluruhannya 80,000 penerima, penyaluran RM50 juta kepada negeri Sabah bagi membendung wabak Covid-19, lanjutan potongan cukai bagi pemilik premis bagi pengurangan kadar sewa premis kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kajian semula kadar elaun perumahan wilayah bagi penjawat awam," katanya dalam Laporan Laksana ke-31 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, beliau berharap pengumuman dan komitmen tambahan itu mampu merealisasikan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan untuk rakyat.

"Sememangnya, ini semua cadangan daripada rakyat dan Ahli Parlimen sendiri daripada pelbagai latar belakang politik yang disahut kerajaan sebagai komitmen dalam usaha melindungi rakyat, melonjakkan semula perniagaan dan menjamin ketahanan ekonomi negara.

"Memang ada sedikit kekangan dalam melaksanakan semua cadangan iaitu untuk mengimbangi kepentingan jangka pendek dan panjang," katanya. Ini termasuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya, tanpa melupakan tanggungjawab amalan disiplin fiskal yang baik bagi kemampanan ekonomi negara bagi jangka masa panjang," katanya.

Menurutnya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang memberi kerjasama dan menyokong Belanjawan 2021 itu di peringkat dasar.

"Selepas kelulusan ini, Belanjawan 2021 kini dibahaskan di peringkat jawatankuasa dan akan dibentangkan untuk bacaan kali ketiga pada 15 Disember 2020.

"Sama-samalah kita mendoakan urusan ini dipermudahkan demi mencapai kesejahteraan bersama dan memulihkan ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 7:00 AM