KERAJAAN akan meletakkan negara di landasan betul dengan kadar pengangguran yang kian menurun.
KERAJAAN akan meletakkan negara di landasan betul dengan kadar pengangguran yang kian menurun.
Syarifah Dayana Syed Bakri


SEMUA bantuan langsung dan inisiatif pekerjaan yang disalurkan kerajaan adalah untuk semua rakyat, pekerja dan majikan tanpa mengira bangsa atau agama.

Sesiapa saja boleh memohon, tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Orang Asal, Kadazan atau mana-mana rakyat Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semua inisiatif berkenaan termasuk Program Subsidi Upah dan Kemudahan Pelepasan Khas dengan jumlah melebihi RM90 bilion untuk 2020 dan 2021 disediakan untuk semua rakyat Malaysia.

"Ini adalah sebahagian daripada agenda kerajaan untuk menjamin setiap rakyat dapat mengecapi hasil pembangunan negara, selaras semangat kemakmuran bersama menerusi Belanjawan bagi 2021.

"Secara keseluruhannya, saya yakin usaha kerajaan akan meletakkan negara di landasan betul dengan rekod prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) terbaik dalam kalangan beberapa negara Asean pada suku ketiga 2020 dan kadar pengangguran yang kian menurun," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-30 mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan atau Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) melalui Facebooknya, semalam.

Menurutnya, semua pihak termasuk rakyat diminta meneliti intipati Belanjawan 2021 bagi menilai kesungguhan serta komitmen kerajaan dalam membela nasib golongan yang kini menghadapi kesukaran akibat pandemik Covid-19.

Ketika menegaskan perkara itu, Tengku Zafrul berkata, belanjawan itu dirangka dengan menitikberatkan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan, malah kerajaan turut komited untuk memperhalusi cadangan penambahbaikan sambil mengimbangi setiap keperluan rakyat.

"Kebelakangan ini, ada banyak tohmahan dan kritikan yang dilemparkan terhadap keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat, lebih-lebih lagi ketika Belanjawan 2021 menunggu masa untuk diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 November ini.

"Saya mohon tuan-tuan dan puan-puan menilai sendiri komitmen kerajaan yang terserlah melalui empat pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan dalam hanya tempoh lapan bulan dan memberi manfaat kepada jutaan keluarga, rakyat serta ratusan ribu perniagaan.

"Malah, kita semua menerima manfaat secara langsung atau tidak langsung," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga mengambil pelbagai langkah proaktif dalam Belanjawan 2021 termasuk peruntukan tambahan RM1.5 bilion selama tiga bulan untuk 70,000 majikan dan 900,000 pekerja sektor pelancongan dan peruncitan bagi memastikan kesemua subsektor terbabit dan paling terkesan mendapat bantuan secukupnya.

Selain itu, kerajaan juga bersedia memperuntukkan RM1 bilion sebagai pakej galakan pelaburan nilai tambah tinggi seperti aeroangkasa dan elektronik selain RM3.7 bilion untuk menjana peluang pekerjaan dengan kerjasama pihak syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta.

Menurutnya, dana lebih RM9 bilion bakal diuruskan untuk memperkasa infrastruktur digital negara, termasuk menambah baik kesalinghubungan 430 sekolah dan kawasan perindustrian selain usaha menyediakan kemudahan alat elektronik mudah alih dan komputer riba demi membantu perjalanan rakyat ke arah norma baharu masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 7:52 AM