NASRULLAH bersama keluarga sebelum patah tulang kaki kanan serta turut luka ringan di tangan kanan serta sakit pada bahagian dada dan belakang badan selepas terbabit kemalangan.
NASRULLAH bersama keluarga sebelum patah tulang kaki kanan serta turut luka ringan di tangan kanan serta sakit pada bahagian dada dan belakang badan selepas terbabit kemalangan.

Sungai Buloh: Tiada siapa ingin malang menimpa namun tiada siapa jua mampu menduga dan mengelak jika itu sudah takdirnya.

Bagi Nasrullah Nadri, 36, seorang penghantar kurier sebuah syarikat e-dagang terkemuka, nasib tidak menyebelahinya apabila dia ditimpa kemalangan ketika menjalankan tugas menghantar barangan ke rumah pelanggan.

"Masa itu, saya tak nampak kereta dari arah bertentangan cuba memasuki simpang. Semuanya berlaku terlalu pantas dan sedar-sedar saya telah dilanggar kereta terbabit.

"Akibat kemalangan itu, tulang kaki kanan saya patah dua, selain turut mengalami luka ringan di tangan kanan serta sakit pada bahagian dada dan belakang badan. Sehingga kini, saya masih menjalani rawatan fisioterapi dan belum mampu bekerja," katanya.

Insiden malang terbabit benar-benar membuatkan Nasrullah gusar kerana tidak dapat keluar mencari rezeki dan wang simpanannya juga tidak seberapa.

Lebih-lebih lagi isterinya, Roszita Ab Manap, 39, yang juga seorang suri rumah sepenuh masa baru sahaja dua bulan melahirkan anak kedua mereka.

Semestinya, banyak perbelanjaan yang perlu ditanggungnya.

Namun, beliau bersyukur kerana caruman yang dibuat di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi inisiatif SPS Lindung melayakkan dia menerima faedah PERKESO, sekali gus dapat membantu meringankan bebanan perbelanjaan seharian keluarganya.

"Sebelum kemalangan, sayalah pencari rezeki mutlak untuk isteri dan dua anak saya. Jadi, saya bersyukur dengan bantuan ini. Saya tidak sangka caruman menerusi SPS Lindung yang dibuat, walaupun tidak sampai setahun lagi, membolehkan saya menerima bantuan kewangan di saat saya benar-benar memerlukannya," katanya.

Caruman Nasrullah yang bermula sejak 12 Februari 2021 melayakkan dia mendapat bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) RM8,762.68, berdasarkan jumlah cuti sakit yang diterimanya iaitu 212 hari.

"Di bawah inisiatif SPS Lindung ini, Orang Bekerja Sendiri (OBS) tidak perlu membayar apa-apa kerana bayaran caruman SKSPS dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

"Inisiatif ini diperkenal bagi menyediakan perlindungan sosial kepada empat kategori kumpulan sasar iaitu anggota pasukan sukarelawan, anggota sektor awam berstatus Contract For Services, pegawai masjid seperti guru takmir, bilal, imam, noja, siak dan merbut dan rakan penghantar.

"Lanjutan inisiatif ini menerusi Bajet 2022 pula membolehkan lebih ramai golongan OBS seperti petani, nelayan dan artis untuk mendapat perlindungan keselamatan sosial dan memberi sinar harapan kepada mereka jika ditimpa musibah," kata Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri PERKESO, Azhar Md Nadzri.

SPS Lindung pakej penambahbaikan kepada inisiatif PenjanaGig khusus kepada rakan penghantar, di mana caruman sebanyak RM232.80 ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan.

Inisiatif diperkenal semasa Belanjawan 2021 ini menyediakan perlindungan keselamatan sosial di bawah SKSPS untuk tempoh perlindungan setahun kepada OBS.

Di bawah SPS Lindung, OBS yang kemalangan atau penyakit khidmat yang terbit daripada pekerjaannya layak dibantu dengan faedah PERKESO.

Antaranya seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Pinjaman Pendidikan dan Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional.

Sehingga 22 Oktober 2021, seramai 340,620 individu mencarum secara aktif dengan SKSPS yang dilaksanakan untuk melindungi individu menjalankan pekerjaan sendiri termasuklah pekerja sektor gig.

Muat turun Aplikasi Prihatin PERKESO melalui App Store/Google Play, hubungi 1-300-22-8000 atau layari laman sesawang PERKESO untuk sebarang perkhidmatan kami atau maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 7:00 AM