Sofyan Rizal Ishak


UNITED Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) dan The FinLab komited untuk terus memperluas capaian bagi programnya iaitu Jom Transform kepada lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia bagi tahun ini.

Ketua Bersama The Finlab Pauline Sim berkata, mereka kini merancang untuk melaksanakan program itu bagi 2020 selepas kejayaan menarik penyertaan 16 PKS bagi penganjuran kali pertama pada tahun lalu.

“Apabila dilancarkan pada Jun 2019, program ini menarik minat lebih 900 PKS namun kami hanya memilih seramai 16 PKS bagi menjadi perintis bagi program ini.

“Berdasarkan daripada sambutan ini, kami berhasrat menarik sebanyak mungkin penyertaan daripada PKS di seluruh negara tahun ini termasuk dari luar Lembah Klang,” katanya pada Bisnes Metro, di sini.

Jom Transform adalah program transformasi perniagaan yang pertama di Malaysia anjuran UOB Malaysia dan The Finlab iaitu pemacu inovasi di bawah United Overseas Bank Limited bagi membantu PKS mendigitalisasikan operasi mereka.

Sepanjang program tiga bulan itu, 16 PKS terbabit memperoleh kemahiran dan pengetahuan dalam bidang transformasi digital dengan cara seperti membentuk semula perniagaan dan pemasaran digital.

Satu daripada 16 PKS yang menyertai Jom Transform iaitu Kumpulan Serai yang merintis penyelesaian digital disediakan oleh AImazing ialah sebuah firma teknologi yang berpangkalan di Singapura, untuk membantu syarikat itu beralih kepada digital untuk resit dan data jualan mereka.

Pengurus Pemasaran Kumpulan Serai, Atiqah Taff berkata, program itu membantu syarikat untuk mengkaji operasi dan mengenal pasti penyelesaian teknologi baharu bagi perniagaan makanan dan minumannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 7:20 AM