GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) hari ini mengesahkan seorang kakitangannya yang tidak berhadapan dengan pelanggan di Menara UOB, Jalan Raja Laut, di sini, disahkan positif Covid-19.

UOB Malaysia berkata, kakitangan itu kini sedang menerima rawatan dan pihak bank membantu beliau serta keluarganya dengan semua sokongan yang mungkin diperlukan semasa tempoh pemulihannya.

"Kami ingin memberi jaminan kepada semua pelanggan, kakitangan dan masyarakat bahawa kerja-kerja pembersihan yang menyeluruh sedang dijalankan di semua tingkat dan kawasan umum yang terlibat di Menara UOB selaras dengan garis panduan pihak berkuasa kesihatan.

"Kami juga ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kejadian ini tidak mengganggu perkhidmatan yang kami sediakan memandangkan bahawa bank telah melaksanakan pelan kesinambungan perniagaan yang mantap," kata bank itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, UOB Malaysia berkata, sembilan cawangan yang ditutup sementara dari 21 Oktober lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bersasar akan beroperasi semula, esok dengan waktu operasi yang lebih pendek.

Ini termasuk tiga cawangan di Kuala Lumpur (Jalan Imbi, Medan Pasar dan Kepong), empat cawangan di Selangor (Kota Damansara, Shah Alam, Ijok dan Jalan Othman, Petaling Jaya) dan dua cawangan di Sabah (Tuaran dan Sandakan).

"Semua cawangan ini akan dibuka dari 9.30 pagi hingga 2 petang, Isnin hingga Jumaat, manakala kemudahan perbankan layan diri akan disediakan dari 6 pagi hingga 6 petang setiap hari.

"Kami akan terus melakukan segala usaha untuk membantu melindungi kesejahteraan kakitangan, pelanggan dan masyarakat dalam keadaan yang mencabar ini," kata bank itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 4:46 PM