Mustapa   (empat dari kiri) bersama  Ong   (tengah) dan Hafsah (kanan)  pada Perhimpunan Bulanan  MITI  dan agensinya,   semalam.
Mustapa (empat dari kiri) bersama Ong (tengah) dan Hafsah (kanan) pada Perhimpunan Bulanan MITI dan agensinya, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) kini dalam proses mengenal pasti syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi disenaraikan dalam pasaran baru khusus untuk PKS di Bursa Malaysia tidak lama lagi.

Ketua Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada PKS dengan penarafan empat dan lima bintang daripada 600,000 PKS yang berada dalam senarai daftar SME Corp.

“Kami menjalinkan kerjasama dengan Bursa Malaysia sejak tahun lalu bagi menyediakan syarikat yang mampu memenuhi keperluan penyenaraian pasaran dikenali Pasaran PKS (SMR Market),” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi di bawahnya, di sini, semalam.

Majlis itu dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Pengerusi SME Corp Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid.

SMR Market adalah pasaran modal baru yang diwujudkan khusus untuk PKS tempatan dan bakal dimulakan pada suku kedua tahun ini apabila ia adalah pasaran ketiga diwujudkan Bursa Malaysia selepas pasaran utama dan pasaran ACE.

Beliau berkata, pasaran itu bakal memberi peluang kepada PKS untuk menarik atau mencari pembiayaan daripada pelabur berpotensi, pemberi dana ekuiti, pelabur budiman dan pelabur lain bagi tujuan perluasan pasaran dan peningkatan keupayaan syarikat.

“Pasaran itu alternatif kepada PKS dalam mendapatkan dana pembiayaan lebih pantas berbanding pembiayaan konvensional dan ia diwujudkan bukan untuk bersaing dengan pasaran lain.

“Pasaran ketiga itu juga bakal membuka potensi PKS tempatan secara lebih jelas dan telus bagi menarik pelabur serta mempercepatkan lagi pertumbuhan perniagaan mereka sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk disenaraikan di pasaran lebih besar di Bursa Malaysia pada masa depan,” katanya.

Pada majlis sama, tiga sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dilaksanakan membabitkan Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Johor Corporation (JCorp) bagi program LGC Ascend 800.

Selain itu, SME Corp bertukar MoU dengan Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd bagi program ‘Microenterprises Digital Transformers Stater Pack’ dan Pertubuhan Pusat Pembangunan Ekonomi Wanita Pakistan Malaysia (PAKNITA) serta Persatuan Ibu Bapa dan Anak-Anak Sakit Kanser Malaysia (PIBAIK) bagi program tanggungjawab sosial korporat, ‘CancerCare-Donate a Pen’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 7:47 AM