PERODUA Axia STYLE.
PERODUA Axia STYLE.
Oleh Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Perodua Axia STYLE membuat penampilan sulung di Sri Lanka yang mana varian yang berunsurkan crossover itu ditawarkan pada harga Rs3.895 juta (RM89,000) di negara kepulauan berkenaan.

Kemunculan varian Perodua Axia 2019 itu juga sempena Pameran Motor Colombo Seylan yang diadakan di Dewan Persidangan Memorial Antarabangsa Bandaranaike pada 8 hingga 10 November tahun ini.

Pengedar tempatan Perodua, Unimo Enterprises turut menerima tempahan untuk Perodua Axia STYLE sepanjang pameran terbabit berlangsung dan penghantaran dijangka bermula awal tahun hadapan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad berkata, Sri Lanka adalah pasaran luar negara terbesar bagi jenama Perodua.

Beliau berkata, model Axia turut disambut baik dengan 3,000 unit dijual sejak 2015.

“Pencapaian berkenaan membuktikan Sri Lanka terbukti bersesuaian sebagai destinasi eksport pertama bagi Perodua Axia STYLE baharu ini.

“Varian ini dilengkapi dengan bampar yang tampil lebih lasak yang mencerminkan gaya hidup aktif pemiliknya di samping mengekalkan semua kelebihan Axia seperti praktikaliti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta mudah dipandu.

“Perodua turut menyasarkan eksport sebanyak 3,270 kenderaan untuk 2019 dan ia adalah peningkatan 50 peratus daripada 2,184 unit tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sejak ia dilancarkan di pasaran Malaysia, lebih 2,000 Perodua Axia STYLE sudah diserahkan kepada pembelinya di negara ini sejak September lalu.

Perodua Axia 2019 secara keseluruhan mencapai jualan lebih 10,400 unit daripada lebih 20,000 tempahan yang diterima setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 6:35 AM