RITCHIE (dua dari kiri) dan Zakri (dua dari kanan) pada  majlis perasmian kerjasama antara Tesco Malaysia dan Allianz Malaysia, semalam. FOTO Mahzir Mat Isa
RITCHIE (dua dari kiri) dan Zakri (dua dari kanan) pada majlis perasmian kerjasama antara Tesco Malaysia dan Allianz Malaysia, semalam. FOTO Mahzir Mat Isa
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) dan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) mengumumkan perkongsian strategik yang menyaksikan Tesco Malaysia akan menjadi rangkaian pasar raya pertama di Malaysia menawarkan produk insurans dalam talian.

Melalui perkongsian itu, empat produk Allianz Malaysia iaitu Motor Comprehensive, Travel Care, Smart Home Cover dan Enhanced Road Warrior (ERW) boleh didapati di laman web Tesco Malaysia iaitu www.tesco.com.my .

Perjanjian itu juga akan menyaksikan Allianz Malaysia mengembangkan lagi produk khusus untuk pelanggan Tesco dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata, perkongsian terbabit akan membolehkan mereka meluaskan lagi pilihan tawaran kepada pelanggan yang berbeza dengan jenama runcit lain di pasaran.

“Kami menawarkan 3.5 juta pelanggan Tesco Clubcard peluang mendapatkan perlindungan insurans untuk memenuhi keperluan mereka hanya di hujung jari,” katanya pada majlis perasmian kerjasama antara Tesco Malaysia dan Allianz Malaysia di sini, semalam.

Empat produk insurans dipilih berdasarkan nilai teras kemudahan pelanggan, kesederhanaan dan nilai teras pelanggan Tesco.

Selain itu, ahli Tesco Clubcard juga akan dapat memperoleh mata untuk pembelian insurans dalam talian mereka dengan mata ganda akan diberikan untuk pembelian dibuat pada tempoh pelancaran dari 2 Mei hingga 2 Jun depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, pihaknya kini memiliki 43 perkongsian aktif merentas pelbagai platform dari pemain mobiliti hingga rangkaian rantaian pasar raya dan mereka ingin terus terbuka serta memberi komitmen dalam menerokai kerjasama diterajui inovasi seumpama ini.

“Melalui tawaran ini, kami berharap supaya dapat menyediakan pelanggan Tesco dengan penyelesaian insurans inovatif dan memenuhi keperluan masing-masing.

“Perkongsian ini juga diharap menghubungkan rakyat Malaysia secara digital kepada insurans sekali gus membina hubungan pelanggan bersama untuk kedua-dua jenama,” katanya.

Bersempena pelancaran itu, satu siri jelajah akan diadakan di cawangan Tesco terpilih seperti di Kepong pada 2 hingga 5 Mei, Ampang (10-12 Mei), Pulau Pinang (17-19 Mei), Tanjung Pinang (24-26 Mei) dan Melaka (31 Mei-2 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:00 AM