Zakri  (kanan) bersama Duta Jerman, Holger Michael (dua dari kanan) dan Pengerusi Allianz Malaysia Berhad, Tan Sri Razali Ismail (dua dari kiri)  pada majlis perasmian menara Allianz di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.
Zakri (kanan) bersama Duta Jerman, Holger Michael (dua dari kanan) dan Pengerusi Allianz Malaysia Berhad, Tan Sri Razali Ismail (dua dari kiri) pada majlis perasmian menara Allianz di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.
Oleh: Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) optimis industri insurans tempatan masih berada pada tahap baik pada tahun ini dipacu oleh asas ekonomi negara yang kukuh.

Bagaimanapun, sentimen pengguna dilihat tidak begitu menggalakkan apabila pertumbuhan insurans am dan hayat negara dijangka berada pada tahap statik dan perlahan berbanding tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakri Khir berkata, pengguna mengambil sikap berhati-hati dalam perbelanjaan mereka berikutan faktor semasa seperti penyusutan nilai ringgit, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), harga minyak dan gas serta lain-lain.

“Oleh itu, kami cuba menangani situasi ini dengan menawarkan produk insurans yang sesuai dengan keperluan pelanggan pada harga berpatutan dan sentiasa memastikan mereka sedar mengenai kepentingan mendapatkan perlindungan,” katanya pada pelancaran Menara Allianz Sentral di sini, semalam.

Pelancaran itu menyaksikan dua anak syarikat Allianz Malaysia iaitu Allianz General Insurance Co (M) Bhd and Allianz Life Insurance Malaysia Bhd ditempatkan di bawah satu bumbung, sekali gus memanfaatkan sinergi antara kedua-dua pihak bagi melancarkan operasi perkhidmatan insurans di negara ini.

Ketika mengulas mengenai Bajet 2016, beliau berkata, kerajaan diharap menawarkan insentif kepada individu yang membeli insurans untuk perlindungan pada masa depan kerana ia penting jika sesuatu terjadi kepada mereka atau keluarga masing-masing.

“Kami menerima apa sahaja insentif yang bakal diperkenalkan kerajaan asalkan ia mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada orang ramai, malah kepada pemain insurans di negara ini,” katanya.

Sehingga kini, Allianz Malaysia memiliki 38 cawangan seluruh negara dan 15,500 ejen yang memberi perkhidmatan kepada dua juta pelanggan dengan penguasaan sebanyak 12.5 peratus bagi pasaran insurans am dan lapan peratus (insurans hayat).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 6:05 AM