STATUS syarikat bukan teras FGV ditentukan dalam tempoh 18 bulan. FOTO Hafiz Sohaimi
STATUS syarikat bukan teras FGV ditentukan dalam tempoh 18 bulan. FOTO Hafiz Sohaimi
Che Wan Badrul Alias

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd menjangkakan keputusan sama ada untuk membubar atau menjual baki syarikat yang bukan perniagaan terasnya akan dimuktamadkan dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Pengerusinya Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, keputusan itu adalah lanjutan pengumuman FGV membubarkan dua syarikat miliknya iaitu Felda Engineering Services Sdn Bhd (Felda Engineering) dan Felda Properties Sdn Bhd (Felda Properties), baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini, kumpulan perladangan itu memiliki lebih 10 syarikat yang bukan dalam perniagaan terasnya dan tindakan lanjut akan diambil secara berperingkat terhadap syarikat yang bukan teras atau tidak sejajar pelan transformasi .

“Kami mungkin akan melupuskan mana-mana syarikat yang tidak sejajar dengan perniagaan teras kerana kami juga perlu memberikan keutamaan kepada syarikat dan fokus kepada perniagaan teras.

“Keputusan terhadap syarikat yang bukan dalam perniagaan teras ini akan dibuat dengan sangat berhati-hati, tidak boleh dibuat sekali gus kerana bimbang akan jadi kelam-kabut, ditambah lagi semua syarikat ini adalah (berstatus) sendirian berhad,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Azhar berkata, kedudukan harga sawit yang terlalu rendah berlegar sekitar RM2,000 satu tan ketika ini menyukarkan FGV memenuhi permintaan Felda untuk memberi hasil perjanjian pajakan tanah (LLA) pada kadar RM800 juta setahun.

Katanya, kadar RM800 juta setahun itu dibuat berdasarkan perkiraan harga sawit berlegar pada RM2,800 setan.

“Felda menerima manfaat daripada LLA seperti dalam perjanjian kami (FGV) bayar RM248 juta secara tetap tanpa gagal setiap tahun, ditambah lagi kami membayar 15 peratus daripada keuntungan.

“Jika harga sawit sekarang sekitar RM2,000 satu tan, bagaimana mahu menyerahkan RM200 juta. Kita perlu melihat ini secara objektif, justeru kami akan mengekalkan status quo,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 7:39 AM