Seremban: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah melahirkan lebih tujuh ribu usahawan muda di seluruh negara.

Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin, berkata kebanyakan usahawan itu yang terbabit dalam program pembangunan usahawan di bawah bimbingan FAMA, bergiat dalam bidang industri asas tani.

“Pembabitan anak-anak muda dalam industri asas tani dapat memberikan pelbagai manfaat kepada mereka khususnya peluang bagi memasarkan produk yang dihasilkan ke persada antarabangsa,’ katanya.

Selain itu, katanya, program Kelab Usahawan Graduan Pertanian (MyAgrosis) ditubuhkan di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak 2011 dapat membimbing dan menyuntik semangat budaya niaga dalam kalangan golongan anak muda di peringkat universiti.

“Sehingga ini, jumlah keseluruhan ahli MyAgrosis ialah 14,632 orang di seluruh negara,” katanya selepas majlis pelancaran Karnival Agropreneur Muda Industri Asas Tani peringkat negeri 2014, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi.

Badruddin berharap dengan sokongan diberikan oleh kerajaan-kerajaan negeri, pelbagai produk yang dihasilkan oleh usahawan muda ini akan dapat diketengahkan ke seluruh negara dan seterusnya ke serata dunia.

Katanya, permintaan produk Malaysia di pasaran antarabangsa mendapat sambutan positif dan menggalakkan.

“Sebagai contoh permintaan kopi mendapat sambutan daripada negara Arab, manakala produk makanan berasaskan buah-buahan serta makanan pedas mendapat permintaan dari negara Jepun.

“Bagaimanapun, permasalahan yang dihadapi ialah bekalan produk makanan yang tidak konsisten,” katanya.

Tujuh belas usahawan muda mengambil bahagian dalam Karnival Agropreneur Muda Industri Asas Tani peringkat Negeri Sembilan 2014 yang berlangsung dari 21 hingga 26 Oktober, di Seremban 2, di sini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 8:23 PM