SEBAHAGIAN peserta seminar.
SEBAHAGIAN peserta seminar.
Mohamad Hussin

Kerajaan amat komited terhadap usaha untuk memajukan sektor pertanian dan industri asas tani (IAT) kerana sektor ini mempunyai masa depan yang cerah walaupun berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran.

Kerajaan juga secara berterusan meningkatkan usaha dan melaksanakan pelbagai strategi untuk terus mempertingkatkan taraf dan ekonomi usahawan di sektor pertanian serta IAT di negara ini.

Hal ini kerana bidang pertanian dan IAT adalah sumber penting yang memenuhi keperluan makanan rakyat di negara ini.

Tidak bermakna jika sesebuah negara itu mempunyai kelengkapan senjata dan peralatan perang yang canggih, jika keperluan makanan di dalam negara untuk rakyatnya sendiri tidak mencukupi.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, kerajaan sentiasa proaktif berusaha untuk memaju dan memartabatkan sektor pertanian ke tahap yang tinggi dan menjadikan bidang ini sebagai kerjaya pilihan terutama kepada generasi muda pada hari ini.

Katanya, kerajaan melaksanakan pelbagai strategi dan mewujudkan jabatan dan agensi yang mempunyai peranan masing-masing demi untuk kepentingan rakyat.

“Salah satu daripada agensi penting yang diwujudkan kerajaan ialah FAMA. FAMA ditubuhkan pada 30 September 1965 adalah sebuah agensi yang berfungsi menyelaras aktiviti pemasaran pertanian di samping memperluas dan memajukan pasaran baru bagi hasil keluaran pertanian dan IAT negara ini.

“Sebagai salah satu dari usaha FAMA memperluas dan memberi peluang kepada usahawan dalam bidang pertanian dan agromakanan negara memasarkan hasil produk pertanian kepada pengguna, adalah melalui penwujudan program pembangunan usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Transformasi Pemasaran sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA 2016) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Allauddin Anuar. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Mansor Omar.

Badruddin berkata, antara program pembangunan usahawan yang dilaksanakan FAMA seperti pasar tani, Agrobazaar Kedai Rakyat, gerai buah-buahan segar, motosikal tiga roda, ladang kontrak, IAT dan Kelab Usahawan Siswazah Tani (Myagrosis).

“Sebahagian program yang saya sebutkan tadi adalah platform yang FAMA wujudkan untuk usahawan memasarkan keluaran hasil pertanian dan IAT mereka dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan ekonomi bagi usahawan dan seterusnya untuk negara.

“Namun, dalam apa jua bidang yang kita ceburi, ilmu atau pengetahuan mengenai bidang berkenaan perlu kita ketahui.

“Semakin banyak ilmu yang kita peroleh mengenai sesuatu bidang, semakin mudahlah bagi kita untuk membuat perancangan dan mengatur pelaksanaan kerja supaya mendapat hasil seperti yang dicita-citakan,” katanya.

Menurutnya, Program Seminar Transformasi Pemasaran adalah satu program perkongsian ilmu dan maklumat terutama dalam bidang pemasaran, sesuai dengan peranan FAMA iaitu agensi pemasaran pertanian di negara ini.

“Seminar ini mempunyai lapan sesi keseluruhan yang menampilkan beberapa penceramah terkemuka yang akan berkongsi ilmu pengetahuan dengan peserta serta berkongsi tip rahsia kejayaan terutama yang berkaitan bidang pemasaran.

“Program seminar yang dianjurkan ini diharap dapat membantu peserta mendapatkan maklumat mengenai bidang pemasaran dan dapat memberi suntikan serta membantu usahawan tani untuk lebih terus berjaya di masa hadapan.

“Diharapkan program perkongsian ilmu ini dapat menambahkan pengetahuan peserta mengenai bidang pemasaran dan dapat menarik minat terutama generasi muda untuk menyertai bidang pertanian dan IAT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 12:54 PM