Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) berada dalam kedudukan kukuh untuk mencatatkan prestasi kewangan yang lebih baik tahun ini berbanding tahun sebelumnya, berdasarkan beberapa projek yang sedang dilaksanakan kumpulan, selain penyusunan pengurusan tertinggi baharu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan - Strategi dan Transformasinya, Ang Yoke Kee berkata, seiring dengan kepercayaan yang diberi Kementerian Kewangan, Prasarana akan menjalankan dan memberikan sepenuh tumpuan ke atas peningkatan prestasi kumpulan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perancangan kumpulan, tetapi menyatakan Prasarana akan membuat pengumuman penting berkaitan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) tidak lama lagi.

“Projek yang sedang dijalankan oleh Prasarana akan diteruskan dan projek baharu akan diumumkan tidak lama lagi. Kumpulan juga akan membuat satu pengumuman mengenai projek LRT3.

“Buat masa ini, Prasarana di bawah teraju kepemimpinan baharu akan memberikan yang terbaik,” katanya selepas menyaksikan persembahan tarian singa di dalam tren LRT di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain.

Ang antara pengurusan tertinggi baharu yang dilantik MOF bersama Mohamed Hazlan.

Sementara itu, sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang lalu, Prasarana memeriahkan sambutan perayaan itu dengan menganjurkan tarian singa di beberapa stesen terpilih dan di dalam tren.

Majlis turut dimeriahkan dengan rombongan 30 anak yatim dari Rumah Charis - Home for the Children Kuala Lumpur.

Inisiatif ini menyuntik elemen keceriaan di stesen dan hab bas perantara Prasarana.

Ia juga antara strategi kumpulan dalam usaha meningkatkan minat orang ramai menggunakan perkhidmatan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 11:22 AM