INDRI  Yulia (kanan) dan Amalia Hasanah  menunjukkan  sijil tamat latihan dengan Akademi Rel.
INDRI Yulia (kanan) dan Amalia Hasanah menunjukkan sijil tamat latihan dengan Akademi Rel.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Indri Yulia Erlanita dan Amalia Hasanah Nur Ahlina antara lima pemandu tren wanita Mass Rapid Transit (MRT) Jakarta yang menamatkan program latihan Pemandu Tren Metro Profesional kendalian Akademi Rel Rapid Rail.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) setakat ini, MRT Jakarta yang bakal beroperasi tahun depan itu mempunyai 90 pemandu tren.

Dua wanita itu adalah kumpulan keempat daripada lapan kumpulan yang mengikuti latihan di bawah kontrak yang ditandatangani Prasarana dengan Akademi Perkeretaapian Indonesia (API) tahun lalu.

Indri, 23, dari Lampung, Sumatera mengakui, bangga memilih kerjaya sebagai pemandu tren dan tidak pernah kekok bergandingan dengan rakan kerja lelaki.

Katanya, sebagai pemandu tren perkhidmatan berkenaan mereka menjadi perintis kepada pembangunan rel urban di Indonesia sekali gus menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi dan aktiviti perniagaan negara.

“Kami mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membuktikan kemampuan kaum wanita dalam bidang ini.

“Saya berharap rakyat Indonesia, khususnya warga kota Jakarta akan menyokong projek ini yang dilihat mampu mencetus transformasi sistem pengangkutan awam dan membantu menyelesaikan masalah trafik,” katanya, semalam.

Sementara itu, rakannya, Amalia, 23 dari Boyolali, Jawa Tengah berharap projek MRT Jakarta dapat dikembangkan ke seluruh Indonesia untuk manfaat rakyat negara itu.

Mengulas mengenai program latihan berkenaan, Ketua Jabatan Pengurusan Projek untuk Operasi dan Penyelenggaraan MRT Jakarta, Masum Asim berkata, beliau gembira dengan keputusan API memilih Prasarana dan Akademi Rel.

Katanya, pemilihan Prasarana adalah tepat kerana kepakaran syarikat itu dalam menyediakan program latihan yang mantap kepada staf MRT Jakarta.

Pada majlis itu, sijil tamat latihan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Khairani Mohamed.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang, Abdul Hadi Amran dan Ketua Akademi Rel, Zaki Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 6:17 AM