Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pertumbuhan eksport negara meningkat dengan ketara kepada 17.7 peratus pada Oktober lalu berikutan pertumbuhan kukuh dalam eksport perkilangan dan komoditi.

Menurut bank pusat itu, pertumbuhan eksport juga dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih sederhana pada masa depan sejajar dengan kegiatan perdagangan global lebih rendah dan eksport semula yang kembali normal.

“Selain pertumbuhan eksport, pertumbuhan pembiayaan bersih terus menyokong aktiviti ekonomi di mana ia mencatatkan sedikit peningkatan kepada 7.3 peratus pada November lalu berbanding 7.1 peratus pada bulan sebelumnya.

“Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman sistem perbankan terkumpul yang lebih tinggi iaitu sebanyak 6.2 peratus pada November berbanding enam peratus pada Oktober lalu,” kata BNM yang dipetik melalui Sorotan Bulanan November 2018 di sini, semalam.

Selain itu, BNM berkata, pinjaman perniagaan terus kukuh dengan pertumbuhan pinjaman terkumpul lebih tinggi iaitu 6.3 peratus pada November berbanding 5.6 peratus (Oktober) didorong terutamanya sektor perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel, pembinaan dan perkilangan.

“Pertumbuhan bon korporat terkumpul terus kukuh pada 10.5 peratus berbanding 10.2 peratus (Oktober) manakala pertumbuhan pinjaman isi rumah menurun sedikit kepada 5.7 peratus berbanding 5.9 peratus pada Oktober,” katanya.

Menurutnya, pasaran kewangan domestik terus mencatatkan aliran keluar portfolio bukan pemastautin pada November lalu disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan luaran.

“Ringgit menyusut nilai sebanyak 0.1 peratus di tengah-tengah aliran keluar portfolio bukan pemastautin. Aliran keluar ini didorong terutamanya oleh sentimen penghindaran risiko pelabur yang disebabkan oleh kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan yang semakin meruncing dan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat akan dinaikkan pada masa hadapan,” katanya.

BNM berkata, kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh bagaimanapun nisbah pinjaman terjejas bersih kekal tidak berubah pada 0.9 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 12:00 PM