Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO DANIAL SAAD
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO DANIAL SAAD
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Prestasi perdagangan Malaysia terus mencatatkan momentum pertumbuhan yang kukuh pada April 2021, mengatasi prestasi bulan Mac, dengan sekali lagi mencatatkan rekod nilai bulanan tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import.

Perdagangan berkembang 43.2 peratus kepada RM190.76 bilion berbanding April 2020.

Eksport kekal melebihi RM100 bilion bagi dua bulan berturut-turut, berjumlah RM105.62 bilion dan melonjak sebanyak 63 peratus.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini adalah pertumbuhan terpantas direkodkan sejak Februari 1998 dan kenaikan tahun ke tahun yang ke lapan bulan berturut-turut, sejak September 2020.

"Import meningkat 24.4 peratus kepada RM85.14 bilion dan lebihan dagangan melonjak 663.5 peratus kepada RM20.48 bilion.

"Perdagangan, eksport dan import mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi tiga bulan berturut-turut.

"Pertumbuhan eksport ini disokong oleh kenaikan permintaan global terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E) khasnya semikonduktor di mana ia seiring dengan perkembangan dalam teknologi pendigitalan dan pembinaan rangkaian 5G, keluaran getah serta keluaran petroleum.

"Eksport ke kesemua pasaran utama iaitu Asean, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mencatatkan pertumbuhan positif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada April 2021, kesemua barangan eksport merekodkan pertumbuhan positif melainkan gas asli cecair (LNG) dan kelengkapan pengangkutan.

Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.3 peratus daripada jumlah eksport, melonjak 64.5 peratus tahun ke tahun kepada RM91.1 bilion dan adalah pertumbuhan terpantas direkodkan dalam tempoh 22 tahun.

Menurutnya, pertumbuhan kukuh direkodkan bagi kesemua barangan perkilangan kecuali kelengkapan pengangkutan.

Kenaikan ini disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi barangan E&E, keluaran getah, keluaran petroleum, barangan perkilangan logam serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Keluaran getah dan keluaran petroleum mencatatkan nilai eksport tertinggi setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 2:11 PM