EKSPORT Malaysia meningkat 4.3 peratus kepada RM84.43 bilion.
EKSPORT Malaysia meningkat 4.3 peratus kepada RM84.43 bilion.

EKSPORT Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan untuk tiga bulan berturut-turut pada November 2020 dengan meningkat 4.3 peratus kepada RM84.43 bilion.

  Lebihan dagangan Malaysia melonjak 151.6 peratus tahun ke tahun kepada RM16.82 bilion bulan lalu,  lebihan dagangan tertinggi bagi November yang direkodkan setakat ini.

  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam kenyataan berkata, import susut sembilan peratus kepada RM67.61 bilion, manakala jumlah perdagangan merosot dua peratus kepada RM152.04 bilion.

  "Bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini, lebihan dagangan  merekodkan pertumbuhan dua digit 23.1 peratus kepada RM163.86 bilion, berbanding tempoh sama pada 2019.   

"Jumlah perdagangan bernilai RM1.606 trilion, berkurangan 4.6 peratus dan eksport bernilai RM885.02 bilion, susut 2.6 peratus manakala import merosot tujuh peratus kepada RM721.16 bilion," katanya.

   Menurutnya, berbanding Oktober 2020, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing berkurangan 5.0 peratus, 7.3 peratus, 1.9 peratus  dan 24 peratus. 

  Mengenai prestasi eksport lebih baik bagi November, Miti berkata, ini disokong oleh pertambahan eksport ke Amerika Syarikat (AS), Singapura, China dan Hong Kong.

 Eksport barangan perkilangan menyumbang kepada 88.1 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 8.1 peratus tahun ke tahun kepada RM74.34 bilion. 

 Pertumbuhan ini disokong kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta produk  getah.

  Katanya, eksport produk getah mencatatkan prestasi kukuh dengan pertumbuhan 13 bulan  berturut-turut.

   "Eksport lebih tinggi turut direkodkan bagi barangan perkilangan lain terutama solid-state storage devices (SSD), barangan kayu serta barangan optik dan saintifik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 7:00 AM