Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun 2023, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh di tengah-tengah cabaran yang meningkat berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi & Monetari 2022 yang dikeluarkan hari ini, BNM berkata kebimbangan berterusan tentang kos sara hidup dan kos input yang tinggi serta kesannya terhadap tingkah laku perbelanjaan isi rumah dan perniagaan akan menambahkan cabaran tersebut.

"Meskipun demikian, keadaan pasaran pekerja yang terus bertambah baik, pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun yang berterusan serta aktiviti pelancongan yang semakin giat, terutamanya dengan penyambungan semula pelancongan keluar China, dijangka menyokong penggunaan swasta dan pertumbuhan pelaburan," katanya.

Pada tahun 2022, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 8.7 peratus susulan penamatan sepenuhnya langkah-langkah pembendungan Covid-19, pertumbuhan yang mantap dalam eksport khususnya eksport komoditi, pemulihan aktiviti pelancongan dan sokongan dasar yang berterusan.

BNM berkata sejajar dengan aktiviti perdagangan global yang lebih perlahan, sama seperti yang dicatatkan oleh ekonomi lain, eksport kasar diunjurkan berkembang secara sederhana pada 1.5 peratus manakala, manakala import kasar dijangka berkurangan kepada 1.1 peratus.

Menurutnya, pemulihan selanjutnya dalam kemasukan pelancong asing dan pertumbuhan import yang sederhana akan terus memberikan sokongan kepada pertumbuhan eksport bersih.

Berhubung perbelanjaan sektor swasta, bank pusat menjangkakan ia berkembang pada kadar sederhana 6.1 peratus pada tahun 2023 berbanding 11.3 peratus pada tahun 2022, manakala pelaburan swasta pada 5.8 peratus berbanding 7.2 peratus sebelumnya.

Perbelanjaan sektor awam dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan 1.3 peratus pada tahun 2023 berbanding 3.9 peratus pada tahun 2022, manakala pelaburan sektor awam pada 7.0 peratus pada 2023 (5.3 peratus pada 2022).

Mengikut sektor, BNM berkata kebanyakan sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun 2023 berikutan jangkaan pertumbuhan global yang lebih perlahan dan tahap pertumbuhan yang kembali normal selepas tahap tinggi yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

"Secara keseluruhan, pertumbuhan akan didorong oleh pengembangan yang berterusan dalam subsektor berkaitan pengguna dan pelancongan manakala subsektor berorientasikan eksport dijangka menjadi sederhana sejajar dengan pertumbuhan global yang lebih perlahan.

"Sementara itu, gangguan rantaian bekalan yang semakin pulih dan penyelesaian kekurangan pekerja juga akan menyokong semua kegiatan ekonomi," katanya.

Bank pusat berkata sektor perkhidmatan dijangka berkembang 5.0 peratus pada 2023, perkilangan (4.0 peratus), pertanian (0.7 peratus), pembinaan (6.3 peratus) dan perlombongan dan pengkuarian (2.0 peratus).

Mengenai risiko kepada unjuran pertumbuhan Malaysia, BNM berkata ia agak seimbang.

Menurutnya, risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah disebabkan terutamanya oleh faktor luaran, iaitu pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan susulan kewangan global yang semakin ketat berikutan dasar monetari yang lebih ketat atau sentimen yang bertambah buruk.

Selain itu, konflik geopolitik yang semakin meruncing boleh menjejaskan prestasi perdagangan Malaysia.

Di dalam negeri, BNM berkata inflasi lebih tinggi daripada jangkaan akan menurunkan kuasa beli isi rumah, manakala kenaikan mendadak dalam kos input boleh menjejaskan keuntungan syarikat.

Namun begitu, keadaan pasaran pekerja yang lebih baik daripada jangkaan, peningkatan aktiviti pelancongan yang lebih kukuh serta pelaksanaan projek termasuk projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 baru-baru ini akan menyebabkan risiko prospek pertumbuhan dalam negeri menjadi lebih tinggi, tambah bank pusat.

BNM berkata inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan berada pada purata antara 2.8 peratus hingga 3.8 peratus pada tahun 2023.

Berhubung akaun semasa, bank pusat menjangkakan ia terus mencatatkan lebihan pada tahun 2023 sebanyak 2.5 hingga 3.5 peratus daripada KDNK didorong oleh lebihan barangan yang berterusan dan defisit yang lebih rendah dalam akaun perkhidmatan.

Sementara itu, dalam Laporan Tahunan 2022, Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata BNM kekal fokus dalam tindak balas dasarnya untuk menguruskan risiko yang boleh menjejaskan kekukuhan ekonomi dalam jangka panjang serta kesejahteraan rakyat.

Katanya BNM juga terus memastikan sektor kewangan kekal menjadi sumber kekuatan bagi ekonomi Malaysia.

"Penampan modal dan penampan mudah tunai yang teguh telah membolehkan bank-bank meneruskan pemberian pinjaman kepada ekonomi, dan pada masa yang sama, menawarkan bantuan kepada peminjam yang masih menghadapi kesukaran.

"Penampan ini kekal penting untuk memelihara daya tahan bank-bank serta keyakinan orang ramai serta pelabur, termasuk semasa episod terkini tekanan perbankan yang dialami di sesetengah ekonomi maju," katanya.

Nor Shamsiah berkata seiring dengan pandemik yang terus berlaku penting bagi negara terus berusaha melaksanakan pembaharuan yang akan menjamin masa hadapan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:33 AM