ANDREW (dua dari kiri) bersama   Paul    (dua dari kanan) pada sidang media selepas penyenaraian saham Manforce di Pasaran LEAP Bursa Malaysia.
ANDREW (dua dari kiri) bersama Paul (dua dari kanan) pada sidang media selepas penyenaraian saham Manforce di Pasaran LEAP Bursa Malaysia.
Nasuha Badrul Huzaini

Kuala Lumpur: Syarikat pengurusan perkhidmatan pekerja asing, Manforce Group Bhd (Manforce) akan mengambil dan menguruskan tambahan 1,800 pekerja asing bagi memenuhi komitmennya dalam mengembangkan operasi syarikat.

Ketua Kewangan Manforce, Andrew Chin Kok Weng berkata, pihaknya berharap urusan berkaitan tambahan pekerja asing itu dapat diselesaikan dalam tempoh 24 bulan.

“Pengambilan itu akan dibuat secara berperingkat dan pekerja asing yang bakal diambil itu adalah dari Nepal, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

“Kami berada dalam industri yang berasaskan bilangan dan kini berlaku ketidakpadanan antara bekalan pekerja asing dengan permintaan. Justeru, kami menyasar untuk meningkatkan pegangan pasaran dengan menyelesaikan ketidakpadanan yang berlaku menerusi strategi perniagaan sedia ada dan juga yang bakal dirancang.

“Selain itu, syarikat juga bercadang mempelbagaikan segmen pasaran pelanggan dengan menembusi industri pembinaan, automotif dan semikonduktor,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian saham Manforce di Pasaran LEAP Bursa Malaysia.

Hadir sama Pengarah Urusannya, Datuk Paul Wong Boon Ming.

Saham Manforce mencatat premium 0.5 sen pada pembukaan daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu 18 sen sesaham.

Menerusi penyenaraian itu, Manforce berjaya meraih dana sebanyak RM8.6 juta menerusi penempatan persendirian dengan harga terbitan 18 sen setiap penempatan.

Sebanyak RM7.5 juta daripada dana yang diraih itu akan digunakan untuk modal kerja dan baki RM1.1 juta akan digunakan untuk membayar kos perbelanjaan penyenaraian.

Sementara itu, Kok Weng berkata, pihaknya menjangkakan persekitaran perniagaan yang mencabar pada tahun depan dengan pelaksanaan beberapa polisi baharu membabitkan pekerja asing.

“Dari segi operasi, ia bukan tahun yang mudah bagi kami dan berharap industri akan menjadi lebih lebih kukuh tahun depan,” katanya.

Manforce ditubuhkan pada 2004 dan terbabit dengan perkhidmatan pekerja asing, perkhidmatan buruh manual serta perkhidmatan dan produk insurans pekerja asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 11:01 AM