ANTARA premis yang diperiksa dalam Ops Patuh  di sekitar Taman Maluri, Cheras, semalam.
ANTARA premis yang diperiksa dalam Ops Patuh di sekitar Taman Maluri, Cheras, semalam.
Safeek Affendy Razali dan Fazrik Kamarudin

Kuala Lumpur: Kegagalan melaporkan penggajian pekerja asing, tiada kontrak perkhidmatan dan tidak menyediakan daftar pekerja antara kesalahan dikesan dilakukan majikan dalam Ops Patuh dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JTKWPKL) di premis perniagaan sekitar Taman Maluri, Cheras, di sini, kelmarin.

Ops Patuh adalah operasi penguatkuasaan dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bagi mengesan dan melakukan pencegahan awal sebarang pelanggaran undang-undang perburuhan.

Operasi kelmarin dijalankan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Tenaga Kerja, Datuk Mohd Jeffrey Joakim berkata, dalam serbuan itu, sebanyak tiga restoran diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati majikan restoran terbabit melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang.

“Kita dapati majikan melanggar undang-undang di bawah Akta Kerja 1955 antaranya kegagalan melaporkan penggajian pekerja asing, tiada kontrak perkhidmatan, tidak menyediakan daftar pekerja, pembayaran gaji dibuat secara tunai serta waktu kerja yang tidak mematuhi peruntukan akta yang ditetapkan.

“Pemeriksaan ke atas penginapan pekerja turut mendapati tahap kebersihan dan kemudahan yang sangat menyedihkan dan tidak mencapai tahap ditetapkan di bawah Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing.

“Sehubungan itu, tindakan undang-undang termasuk pendakwaan akan diambil ke atas majikan yang didapati melanggar peruntukan ditetapkan. Mereka boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan disabitkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Mohd Jeffrey berkata, sehingga kelmarin sebanyak 168 majikan di Semenanjung Malaysia sudah diperiksa sejak Ops Patuh dilancarkan pada 8 Jun lalu.

“Sebanyak 52 notis pematuhan sudah dikeluarkan dan sebanyak 99 kertas siasatan sudah dibuka. Operasi penguatkuasaan ini akan diteruskan sehingga 7 September depan.

“Kami juga meminta pihak yang mempunyai maklumat mengenai perlanggaran undang-undang perburuhan supaya membuat laporan sama ada menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) JTKSM atau boleh hadir ke pejabat Tenaga kerja berhampiran.

“Kami memandang serius isu perlindungan hak dan kebajikan pekerja. Ia selaras dengan dasar Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran yang mengambil berat kebajikan pekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 11:04 AM