CLAIRE (kiri) bersama  Shanti  (tengah) dan Senthil  pada majlis pelancaran Maxis ONERetail di Menara Maxis.
CLAIRE (kiri) bersama Shanti (tengah) dan Senthil pada majlis pelancaran Maxis ONERetail di Menara Maxis.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Maxis Bhd (Maxis) mengukuhkan penawaran produk kepada pelanggannya dengan menyediakan penyelesaian lengkap digital pertama bagi sektor peruncitan menerusi Maxis ONERetail.

Ketua Perusahaan Maxis, Shanti Jusnita Johari berkata, produk terbaru itu merangkumi penyelesaian komprehensif membabitkan jualan berasaskan awan, e-dagang dan pemasaran SMS.

Beliau berkata, dengan Maxis ONERetail, ia sekali gus melengkapkan ekosistem perkhidmatan oleh
Maxis yang mana ia bukan saja tertumpu kepada individu dan keluarga malah kepada perniagaan menjadikannya lebih bersepadu.

“Teknologi adalah pemangkin yang penting bagi setiap perniagaan pada dunia masa kini dan kehadiran Maxis ONERetail ini adalah tepat pada masanya dalam memastikan perniagaan dapat bergerak lebih mudah dan cekap.

“Kami menyasarkan komuniti perniagaan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana mereka banyak menghabiskan masa bagi jualan secara manual dan pemantauan inventori di samping dapat menjimatkan kos operasi dan tenaga kerja.

“Kami juga adalah syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menawarkan penyelesaian digital yang lengkap bagi sektor runcit,” katanya pada majlis pelancaran Maxis ONERetail di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pembangunan Perniagaan Maxis, Senthil Balan Danapalan dan Ketua Perniagaan Baharu Maxis, Claire Featherstone.

Maxis ONERetail berperanan sebagai medium penyelesaian ideal kepada pemilik perniagaan untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi, tingkat kecekapan operasi dan terus kekal relavan dalam kalangan pelanggan.

Shanti Jusnita berkata, bagi fungsi e-dagang, pelanggan akan memiliki kedai atas talian tersendiri yang mempunyai pakar digital khas, tinjauan serta analisis prestasi jualan dalam bentuk jadual serta perkhidmatan pemasaran digital bagi mengukuhkan kehadiran secara atas talian.

“Untuk fungsi Titik Jualan Awan (Cloud POS), peniaga dapat mengakses laporan jualan dan inventori dalam masa nyata hanya dari satu platform selain dapat membina analisis jualan dan pelanggan.

“Platform berasaskan awan ini mengupayakan mereka untuk mengakses semua data pada bila-bila masa dan di mana saja,” katanya.

Selain itu, Maxis ONERetail juga mempunyai ciri lain seperti mPOS, iaitu menerima pembayaran kad di mana saja serta eSMS khusus untuk mendekati pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 9:50 AM