PENGURUS Besar Cloud Microsoft Asia Pasifik, Nate Harris (kiri) dan  McManus selepas menandatangani MoU.
PENGURUS Besar Cloud Microsoft Asia Pasifik, Nate Harris (kiri) dan McManus selepas menandatangani MoU.
HM Bisnes

MAXIS Berhad (Maxis) menjalin kerjasama dengan Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd untuk mewujudkan penyelesaian digital inovatif untuk organisasi di Malaysia.

Ketua Pegawai Perniagaan Enterpris Maxis, Paul McManus berkata, sejajar dengan cita-cita untuk menjadi penyedia teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) serta penyelesaian utama bagi pelanggan enterpris, pihaknya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Microsoft Malaysia untuk menggunakan kepakaran, teknologi dan keupayaan masing-masing.

“Kerjasama ini menjadikan Maxis syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia untuk menawarkan panggilan suara talian tetap dengan komunikasi bersepadu Microsoft Teams sebagai sebahagian daripada penyelesaian Modern Workspace Microsoft,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, MoU itu membolehkan kedua-dua pemimpin ini bekerjasama dalam tiga bidang utama yang menyasarkan perusahaan komersial dan sektor awam.

“Kepemimpinan Maxis dalam IoT dan 5G serta teknologi Azure IoT canggih Microsoft akan membolehkan industri untuk membina utiliti pintar dan aplikasi lain berkaitan.

“Perkongsian ini juga akan memanfaatkan perkhidmatan awan Microsoft Azure dan Azure Stack untuk meningkatkan perkhidmatan awan Maxis serta memenuhi keperluan hibrid awan perniagaan di Malaysia.

“Maxis juga akan menggunakan penyelesaian Modern Workplace Microsoft, termasuk Microsoft Teams untuk memberikan keupayaan dan fleksibiliti pekerja mereka dalam mengintegrasikan kerja, kehidupan serta keluarga mereka,” katanya.

Menurutnya, salah satu tonggak penting dalam perjalanan dan cita-cita Maxis adalah dengan menjalin perkongsian strategik bersama syarikat yang terbaik dalam industri untuk memberikan lebih banyak nilai kepada perniagaan di Malaysia.

“Dengan IR4.0 yang semakin menuntut ketangkasan untuk tenaga kerja moden, perkongsian kami dengan Microsoft datang pada masa yang kritikal. “Penyelesaian berasaskan awan membolehkan tahap kerja dan kolaborasi yang baru, seterusnya menjadi pemacu penting dalam mempercepatkan perubahan landskap perniagaan yang pantas berkembang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:25 AM