Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis), penyedia perkhidmatan komunikasi utama Malaysia mengupayakan lebih 700 pemilik perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada pelbagai industri mengenai cara baru untuk bekerja pada zaman digital menerusi Persidangan PKS Digital.

Persidangan terbabit berkongsi mengenai pelbagai tip menarik untuk menjalankan perniagaan dengan menggunakan platform digital dan ruang kerja moden, serta strategi gangguan dalam mendominasi industri tradisional.

Ketua Pemasaran Perusahaan & Mobiliti Maxis, Shanti Jusnita Johari berkata, meskipun teknologi dan Internet merubah teknik menggunakan maklumat dan bagaimana perniagaan dijalankan hari ini dengan lebih pantas, cekap, mudah dan produktif, namun realitinya adalah terdapat ramai pemilik perniagaan tidak tahu bagaimana teknologi yang betul atau penyelesaian dapat memberi kesan.

“Sebagai pengupaya digital, kami mengambil inisiatif bagi membantu perniagaan untuk melihat potensi mereka dalam mencapai skala global dengan mobiliti Internet. Kita kini berada di dalam fasa di mana terdapat keperluan yang semakin meningkat dalam menggerakkan tenaga kerja, memvirtualkan ruang kerja dan mendigitalkan antara muka (interface) pelanggan, dan persidangan hari ini boleh membantu memacu perubahan minda masing-masing.

“Peserta boleh berhubung dengan lebih daripada 20 penceramah yang bereputasi serta peneraju industri melalui sesi ‘Meet the Guru’ antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Morten Lundal dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan iflix Azran Osman-Rani,” katanya pada Persidangan SME MaxisONE Business.

Majlis menyaksikan kerjasama Maxis dengan rakan perniagaan termasuk Microsoft, Maybank, Samsung dan Google, Industri SME Corp, MDeC, Malaysia Retail Chain Association (MRCA), New Entrepreneur Foundation (MyNEF) dan Cradle.

Ketua SME Maxis, Kevin Lee berkata, acara berkenaan bertujuan menginspirasikan langkah baru menguruskan operasi syarikat dalam persekitaran digital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 6:57 AM