KHAIRUL Kamarudin
KHAIRUL Kamarudin
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) komited untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem kewangan untuk menyediakan penyelesaian kewangan kepada vendor Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) melalui Program Pembiayaan Vendor PKS.

Usaha itu direalisasikan menerusi kerjasama bersepadu antara tiga pihak iaitu Bank Islam, PETRONAS dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, perkara itu bertujuan memberi manfaat kepada sektor Pekhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) tempatan.

Beliau berkata, Bank Islam mengambil pendekatan realistik ke arah menghasilkan produk berinovasi bagi memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami berminat menyediakan pilihan pembiayaan kepada vendor sebagai salah satu daripada pelbagai cara yang boleh menambah nilai kepada sektor ini.

“Pihak Bank Islam amat bangga dengan pendekatan inovatif terhadap perkhidmatan pelanggan yang menawarkan liputan rangkaian dan keupayaan paling luas untuk menyokong keperluan sektor OGSE.

“Program ini juga membantu promosi produk sedia adanya terutama kemudahan pembiayaan yang dapat memenuhi keperluan pelanggan PKS untuk perolehan dan kontrak khusus mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) itu disempurnakan Timbalan Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Samsudin Miskon. Bank Islam diwakili Ketua Perbankan Komersial, Abdul Rashid Abdul Hamid manakala SJPP oleh Pengurus Besar Kanannya, Chen Yin Heng.

Acara itu turut disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Khairul serta Pegawai Utama SJPP, Dr Nungsar Ahmad Radhi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kanan Pelaksanaan Projek & Teknologi PETRONAS, Mazuin Ismail berkata, pihaknya memulakan kerjasama ini sebagai langkah untuk mengekalkan ketahanan sektor OGSE di Malaysia.

“Kami menghargai kerjasama yang termeterai bersama Bank Islam dan SJPP serta percaya ia akan mengurangkan cabaran yang dihadapi vendor OGSE,” katanya.

Bagi program ini, SJPP akan menyediakan lebih 70 peratus jaminan kredit kepada vendor PKS OGSE yang layak untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan.

Peranan PETRONAS adalah untuk mempromosikan kemudahan pembiayaan ini kepada vendor PKS mereka di samping mengesahkan kontrak dan maklumat vendor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 9:08 AM