MENARA Bank Islam di Jalan Perak.  - FOTO Mohd YusniI Ariffin
MENARA Bank Islam di Jalan Perak. - FOTO Mohd YusniI Ariffin
Sri Ayu Kartika Amri

SEKTOR perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu menawarkan potensi tinggi dengan menyumbang kepada peningkatkan dan kepelbagaian jumlah aset dan pendapatan berdasarkan fi kepada Bank Islam.

Statistik Prestasi PKS 2018 Jabatan Perangkaan menunjukkan PKS mencatatkan kadar pertumbuhan kukuh 6.2 peratus mengatasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang merekodkan 4.7 peratus pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed berkata, berikutan itu pihaknya berada pada landasan baik dan mengorak langkah dalam segmen PKS ini.

Katanya, Bank Islam juga mengadakan Program Pembangunan PKS serta menyediakan program pembiayaan bagi vendor, kontraktor dan pembekal kepada badan berkaitan kerajaan terkemuka seperti Petronas, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Sarawak Energy.

“Buat masa ini, jumlah aset segmen PKS Bank Islam sekitar RM2 bilion dan jumlah pelanggan PKS melebihi 1,500 yang membabitkan pelbagai sektor.

“Segmen terbesar menerima manfaat daripada Bank Islam setakat ini adalah pembiayaan mesra alam (tenaga solar dan pengurusan sisa) dengan kelulusan RM304.9 juta.

“Kami akan bergiat aktif dalam menjadikan Bank Islam sebagai bank pilihan usahawan PKS dan antara usaha kami lakukan ialah dengan mengadakan sesi perjumpaan serta bengkel PKS.

“Selain itu, kami meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi kerajaan seperti SME Corp dan persatuan PKS bagi mengadakan program, produk dan perkhidmatan kepada PKS,” katanya.

Menurutnya, Bank Islam mengadakan kerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) serta agensi kerajaan dan swasta untuk mengadakan sesi dialog dan mendekati perniagaan dalam rantaian bekalan mereka.

Mohd Muazzam berkata, pihaknya menyediakan rancangan tiga tahun segmen PKS untuk tempoh 2020 hingga 2022 bagi mengembangkan kapasiti dan keupayaan segmen itu.

“Ia termasuk pembukaan lebih banyak Hab PKS baharu di seluruh negara, mewujudkan pejabat wilayah PKS, menambah baik proses dan produk PKS sedia ada serta menawarkan produk PKS baharu berdasarkan permintaan pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:01 AM