Lejeune (kiri) bersama Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia Andrew Gnananantham melancarkan ulang tahun perayaan Lazada ke-6, semalam.
Lejeune (kiri) bersama Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia Andrew Gnananantham melancarkan ulang tahun perayaan Lazada ke-6, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Lazada Malaysia optimis mengekalkan pertumbuhan jualan 100 peratus tahun ke tahun disokong dengan pengenalan ciri baru aplikasi e-dagangnya.

Tahun lalu, Lazada Malaysia bersama Lazada Group meraih AS$250 juta (RM1.02 bilion) dalam nilai dagangan kasar (GMV) untuk Jualan Akhir Besar-Besaran 12.12 yang diadakan seiring kempen Revolusi Dalam Talian syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Christophe Lejeune berkata, pihaknya memperkenalkan enam pembaharuan yang membawa ciri terbaik membeli-belah untuk pelanggan.

Katanya, Applikasi Lazada kini menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjadikan perjalanan membeli-belah pelanggan lebih peribadi.

“Hari ini, Lazada adalah aplikasi membeli-belah paling banyak dimuat turun di Malaysia dengan lebih daripada tujuh juta muat turun.

“Dengan kadar penembusan telefon pintar pada suku ketiga tahun lalu iaitu pada 70 peratus, kebanyakan rakyat memilih menggunakan telefon pintar mereka sebagai alat membeli-belah yang utama,” katanya sempena pelancaran Festival Ulang Tahun Ke-6 Lazada di sini, semalam.

Aplikasi Lazada kini mempunyai enam ciri baru iaitu personalisasi penuh, Chat Now, Rebat Tunai dengan E-Wallet Lazada, kedai kegemaran serta beli dan goncang untuk tawaran.

Sementara itu, Lejeune berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan jualan tiga kali ganda sempena festival yang berlangsung hari ini hingga Jumaat.

Pelanggan boleh mendapat diskaun sehingga 90 peratus untuk produk yang dijual di Lazada.

Pelanggan boleh menikmati tawaran eksklusif daripada pelbagai jenama secara eksklusif, selain diskaun sehingga 70 peratus.

Beliau berkata, Lazada turut menampilkan 1,000 jualan kilat, 1,000 baucar dan 145 kotak misteri.

Pelanggan juga boleh memenangi hadiah bernilai RM100,000 dengan menyertai pelbagai pertandingan di laman Facebook dan Instagram Lazada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 12:29 AM