LEJEUNE (kanan) pada pelancaran Festival Beli-Belah Lazada 11.11, semalam.
LEJEUNE (kanan) pada pelancaran Festival Beli-Belah Lazada 11.11, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lazada Malaysia melancarkan acara terbesarnya, Festival Beli-Belah Lazada 11.11 yang membolehkan pelanggan mengakses lebih 100 juta produk daripada 300 jenama menerusi aplikasi Lazada.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christophe Lejeune berkata, dengan lebih sembilan juta muat turun aplikasi Lazada pada masa ini, pihaknya menerima lebih lima kali ganda jenama dan penjual berbanding tahun lalu.

Katanya, pada acara sama tahun lalu Lazada berjaya mencapai transaksi jualan lebih RM100 juta dan menerima lebih 10 juta pengunjung.

“Tahun ini kami jangkakan jumlah itu akan meningkat dan diharapkan melebihi apa yang kami bayangkan.

“Lebih menarik, diskaun sehingga 90 peratus ditawarkan kepada pengguna,” katanya di majlis pelancaran Festival Beli-Belah Lazada 11.11 di sini, semalam.

Christophe berkata, Lazada kini berkembang menjadi platform gaya hidup dan menawarkan pengalaman di luar batasan beli-belah dalam talian.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memperluas rangkaian produk dengan memfokus kepada fesyen dan produk kecantikan bagi memenuhi pasaran segmen wanita yang dilihat semakin berkembang.

Festival Beli-Belah Lazada 11.11 kali ini turut menampilkan Super Show 11.11 yang disertai artis terkenal tanah air dan bakal dipentaskan di Axiata Arena.

Dianggarkan tiga juta rakyat Malaysia akan menyaksikan acara ini serentak di saluran Media Prima TV3, ntv7, tonton dan aplikasi mudah alih Lazada.

Pelanggan juga boleh menikmati pelbagai tawaran menarik termasuk baucar sehingga RM11,000, tawaran serendah 99 sen dan hadiah percuma bernilai RM200,000.

Terdapat lebih 100,000 kotak kejutan untuk direbut pelanggan Lazada yang mengandungi produk daripada pelbagai jenama dengan potongan sehingga 70 peratus dan pelbagai hadiah bernilai RM1 juta untuk dimenangi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 12:00 PM