DIANA memberi penerangan mengenai Lazada Brand Refresh and Mid-Year Campaign. FOTO Saifullizan Tamadi
DIANA memberi penerangan mengenai Lazada Brand Refresh and Mid-Year Campaign. FOTO Saifullizan Tamadi
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Lazada julung kali menganjurkan jualan pertengahan tahun yang meliputi enam pasaran di Asia Tenggara dengan tawaran diskaun minimum 50 peratus.

Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Diana Boo berkata, pengguna berpeluang menikmati ganjaran luar biasa ditawarkan termasuk membuat tempahan awal melalui ciri Chup Dulu.

Katanya, festival itu turut memberi tawaran menarik kepada pembeli dan penjual, lebih-lebih lagi ia dianjurkan pada waktu yang selalunya senyap bagi musim membeli-belah.

“Pelbagai ciri baharu diperkenalkan antaranya permainan secara langsung Guess IT dan pratempahan Chup Dulu membolehkan pengguna untuk membuat tempahan awal bagi produk terpilih.

“Lazada komited menjadi destinasi gaya hidup pilihan konsumer terutama di Malaysia dan menawarkan pelbagai produk pada harga kompetitif yang dapat memenuhi keperluan setiap individu.

“Lebih RM350,000 hadiah ditawarkan sempena Festival Pertengahan Tahun ini,” katanya pada majlis pengenalan ciri aplikasi baharu Lazada, di sini.

Diana berkata, ciri baharu aplikasi Lazada, Guess IT adalah permainan yang disiarkan secara langsung bermula dari 1 hingga 12 Julai setiap hari pada jam 12 tengah hari, jam 1 tengah hari dan jam 7 hingga 9 malam.

Chup Dulu pula membolehkan pelanggan menempah barang yang dipilih dan membayar deposit melalui aplikasi Lazada sebelum 11 Julai. Ciri ini terbuka kepada pelanggan dari 29 Jun hingga 11 Julai ini.

Beliau berkata, lebih menarik, Lazada turut menawarkan Jaminan Harga Terendah pada 12 Julai iaitu jika pembeli dapati harga dijual di LazMall lebih rendah daripada yang lain, Lazada akan membayar dua kali ganda perbezaan harga terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 8:30 AM