ABDUL Wahid
ABDUL Wahid
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terus melaksanakan pelan strategiknya pada 2018 bagi memastikan prestasi kewangan syarikat pengurusan dana negara itu terus kukuh dalam tiga bidang utama.

Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, tumpuan utama yang pertama ialah memastikan syarikat strategiknya memberi tumpuan dalam mempertingkatkan asas perniagaan, perolehan dan dividen, yang akan memacu peningkatan jumlah pulangan pemegang saham (TSR).

Beliau berkata, fokus kedua adalah untuk melaksanakan Alokasi Aset Strategik PNB untuk meningkatkan pulangannya secara mampan dan masih dalam toleransi risiko termasuk meningkatkan pendedahan kepada pelaburan swasta
di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Keutamaan yang terakhir ialah sentiasa berhubung dengan syarikat teras Kumpulan yang mana, PNB mempunyai sekurang-kurangnya 10 peratus pegangan atau RM1 bilion dalam nilai untuk memacu prestasi yang lebih baik.

“Adalah penting bagi syarikat korporat Malaysia untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan mereka untuk menjana TSR atau jumlah pulangan yang lebih tinggi,” katanya dalam perutusan tahun baru.

Bagi 2017, PNB berjaya mencapai beberapa kejayaan yang bermakna, termasuk peningkatan prestasi kewangannya dengan pendapatan bersih syarikat meningkat 7.1 peratus kepada RM15.4 bilion.

Pada masa sama, PNB turut berjaya melaksanakan inisiatif transformasi syarikat strategiknya dengan memperlihatkan nilai permodalan pasaran syarikat strategiknya itu meningkat sebanyak RM39 bilion pada 2017.

Abdul Wahid berkata, konsensus pertumbuhan pendapatan syarikat senaraian awam pada 2017 adalah sebanyak 5.7 peratus, iaitu di bawah jangkaan awal syarikat pengurus dana itu.

Menurutnya, meskipun unjuran pertumbuhan pendapatan 2018 lebih tinggi pada 6.9 peratus, harapan PNB adalah dengan strategi dan pelaksanaan yang tepat, pertumbuhan pendapatan korporat Malaysia akan lebih tinggi.

Selain memastikan prestasi kewangan dan syarikatnya kukuh pada 2018, Abdul Wahid berkata, PNB akan terus berusaha keras bagi memastikan inisiatif saham-i atau i-shares menjadi kenyataan.

“Kami akan terus berhubung dengan pihak berkepentingan yang relevan bagi merealisasikan inisiatif berkenaan yang mampu menyelesaikan isu kekurangan saham berlandaskan syariah atau instrumen ekuiti berkaitan perkhidmatan kewangan di pasaran saham,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 8:40 AM