TONY (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Program Kesetiaan BIG AirAsia, Datuk Eddy Leong (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun (tiga dari kiri) menunjukan kad keahlian BIG Loyalty pada pelancaran Program Freedom Flyer.
TONY (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Program Kesetiaan BIG AirAsia, Datuk Eddy Leong (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun (tiga dari kiri) menunjukan kad keahlian BIG Loyalty pada pelancaran Program Freedom Flyer.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Sepang: AirAsia Berhad menjangkakan peningkatan pendapatan daripada Program Kesetiaan BIG AirAsia dengan sumbangan lima peratus kepada kumpulan menjelang 2018, khususnya dengan pelancaran Program Freedom Flyer yang menjadikan pengumpulan mata ganjaran BIG lebih mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, buat masa ini program berkenaan tidak memberi sumbangan signifikan kepada kumpulan, namun dengan beberapa penambahbaikan pihaknya yakin ia mampu mencatatkan peningkatan positif.

“Buat masa ini, ia masih mencatatkan kerugian dengan hanya kira-kira dua peratus sumbangan kepada pendapatan kumpulan. Namun, dengan program baru yang diperkenalkan ini, kami yakin ia dapat menyumbang sehingga lima peratus,” katanya.

Menurutnya, selain Program Freedom Flyer, inisiatif lain yang dijalankan untuk program kesetiaan ini termasuk memperkenalkan kad jenama bersama dengan bank.

“Setakat ini, kami bekerjasama dengan tiga bank untuk tiga pasaran iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Malah, kami juga dalam proses untuk memperkenalkan kad jenama bersama yang akan dibangunkan dengan Mastercard,” katanya selepas pelancaran Program Freedom Flyer, di sini, semalam.

Melalui program berkenaan, pelanggan berpeluang mendapatkan mata ganjaran BIG tanpa mengira jumlah perbelanjaan tambang mereka.

Penerbangan jarak jauh dikira sebagai dua perjalanan jarak dekat sehala untuk tujuan pengiraan status yang menjadikan pengumpulan mata ganjaran lebih banyak dengan penerbangan AirAsiaX.

Dalam pada itu, AirAsia juga akan memperkenal sistem pembayaran menggunakan telefon pintar dikenali sebagai BIGpay dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

“Buat masa ini, ia masih dalam peringkat percubaan dan ia akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan yang diperlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 2:17 AM