Ekhwan Haque Fazlul Haque


PENUMPANG AirAsia kini boleh menerima nilai kredit ke akaun AirAsia BIG dengan lebih mudah dan cepat iaitu pada hari sama permohonan dibuat.

Ia jika penerbangan mereka dibatalkan dari 23 Mac hingga 31 Ogos tahun ini.

Ketua Pegawai Bahagian Kebahagiaan Pelanggan AirAsia Adam Geneave berkata, langkah itu sejajar dengan nilai syarikat yang mengutamakan pelanggannya.

Menurutnya, pengguna yang penerbangan mereka dibatalkan pada tarikh berkenaan boleh mengekalkan nilai tempahan ke dalam akaun AirAsia BIG.

"Ia boleh digunakan dalam masa dua tahun dari tarikh ia dikreditkan," katanya.

Beliau berkata, tarikh perjalanan untuk tempahan baharu boleh dibuat pada bila-bila masa.

Katanya, ia selagi penerbangan tersedia untuk tempahan di airasia.com atau di aplikasi mudah alih.

"AirAsia Virtual Allstar atau AVA akan membantu tetamu untuk memohon akaun kredit mereka dengan mengemukakan nama, e-mel dan nombor tempahan.

"AVA akan memeriksa ID Ahli BIG yang diberikan untuk memastikan ia sama dengan nama dan rekod pendaftaran akaun ahli BIG sebelum memproses kredit ke akaun mereka," katanya.

Adam berkata, AirAsia menghargai maklum balas pelanggan dan bekerja keras untuk memberi penyelesaian yang lebih cepat dan mudah.

Beliau berkata, kesihatan dan kesejahteraan tetamu menjadi keutamaan selain mematuhi nasihat dan peraturan daripada kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 5:32 PM