KLIA Ekspres. FOTO arkib NSTP
KLIA Ekspres. FOTO arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki


PENUMPANG setia syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia berpeluang untuk menikmati tambang istimewa KLIA Ekspres serendah RM48 untuk perjalanan sehala dan RM88 bagi perjalanan pergi balik.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Pemasaran dan Jualan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) Yeow Wei-Wen berkata, tawaran berkenaan adalah satu daripada kerjasama antara pihaknya dengan AirAsia.

"Kita sangat gembira dapat bekerjasama dengan AirAsia dan orang ramai boleh menikmati tawaran ini melalui dalam talian iaitu airasia.com menerusi pautan Urus Tempahan Saya.

"Melalui kemudahan pembelian tiket KLIA Ekspres menerusi laman Web AirAsia, penumpang boleh merancang dan mengurus perjalanan mereka dalam hanya satu laman web," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, menerusi perkhidmatan KLIA Ekpres, perjalanan di antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) hanya mengambil masa selama 33 minit.

"Kami berusaha memastikan supaya penumpang boleh menikmati perjalanan yang cepat dan selamat dengan KLIA Ekspres.

"Malah, kita juga menawarkan tambang khas untuk kanak-kanak (dua hingga 12 tahun) dengan harga RM22 sehala dan RM40 untuk perjalanan pergi balik melalui laman sesawang ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee berkata, kerjasama eksklusif itu dapat menguatkan komitmen AirAsia untuk menjadikan perjalanan lebih mudah bagi penumpangnya.

"Tawaran tambang istimewa KLIA Ekspres melalui laman sesawang AirAsia ini memberi peluang kepada penumpang kami untuk menikmati nilai tambah selain daripada pengalaman perjalanan yang lebih lancar.

"Sempena pelancaran kerjasama ini, ahli AirAsia BIG akan memperoleh 100 mata ganjaran BIG untuk pembelian tiket sehala dewasa KLIA Ekspres dan 200 mata ganjaran BIG untuk tiket pergi balik dewasa.

"Tawaran mata ganjaran AirAsia BIG ini boleh didapati sehingga 20 Oktober ini," katanya.

#kw tambang istimewa KLIA Ekspres, AirAsia

#loc 2.926361, 101.696445

-Tamat-

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 12:35 PM