ABEYKOON
ABEYKOON
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Boost memperluaskan penawaran insuransnya dengan melancarkan CarProtect, insurans kereta dengan perlindungan komprehensif untuk kereta persendirian.

CarProtect menawarkan cara mudah dan senang kepada pelanggan untuk mengubah suai pelan insurans yang paling bersesuaian dengan keperluan mereka.

Selain itu, pelanggan juga boleh memperbaharui cukai jalan mereka pada masa yang sama dan dihantar ke rumah mereka dengan mudah.

Ketua Pengarah Eksekutif Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pelancaran perlindungan insurans kereta baharu ini adalah satu langkah ke hadapan bagi memacu inovasi dalam ruang insurans di Malaysia.

"Dengan adanya penambahan CarProtect, Boost kini menawarkan sejumlah 15 pelan insurans perlindungan.

"Terdapat pelan insurans atau takaful yang memenuhi keperluan gaya hidup pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seluruh keluarga, penggemar aktiviti kecergasan dan kini, pemilik kereta.

"Selagi kami masih meneruskan untuk menghasilkan pelan insurans yang berpatutan untuk masa hadapan, kami akan terus menekankan terhadap pengubahsuaian untuk memberi fleksibiliti kepada pengguna membeli pelan insurans yang tepat pada harga berpatutan bagi melindungi diri dan orang tersayang," katanya dalam kenyataan.

Mulai sekarang hingga 31 Disember 2021, 5,000 pengguna pertama yang memperbaharui insurans kereta mereka bersama Boost akan menerima pulangan tunai sebanyak RM100 di dalam 'Boost Partner Wallet'.

Pengguna berikutnya akan menerima pulangan tunai sebanyak RM50.

Pulangan tunai di 'Boost Partner Wallet' boleh digunakan untuk membayar sebarang transaksi Boost.

Sebagai ciri keselamatan tambahan, Boost turut menyertakan Butang Kecemasan untuk pelanggan CarProtect yang menyediakan akses segera kepada 24 jam bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

CarProtect juga menawarkan perlindungan selama setahun untuk kerosakan pada kenderaan yang diinsuranskan akibat kemalangan, kecurian atau kemalangan akibat kebakaran, serta liabiliti terhadap pihak ketiga termasuk kecederaan tubuh badan, kematian, kerugian atau kerosakan harta benda.

Selain itu, ia juga mempunyai perlindungan tambahan yang boleh diubahsuaikan untuk cermin depan, banjir dan bahaya khas serta pengecualian ekses wajib (termasuk pemandu tambahan). Pelan insurans ini ditaja jamin oleh Great Eastern General Insurance (Malaysia) Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 7:02 AM