DUA pelan insurans mikro baharu yang eksklusif diperkenalkan kepada umum.
DUA pelan insurans mikro baharu yang eksklusif diperkenalkan kepada umum.

E-dompet tempatan, Boost memperkenalkan kaedah tanpa tunai baru yang inovatif untuk rakyat Malaysia membayar perlindungan insurans.

Penyedia platform pembayaran elektronik itu memperluas penawaran insurans mikro dengan merangkumkan insurans am dan hayat dalam kempen Stay at Home #BoostGotYou.

Menurut syarikat itu, kempen yang dilancarkan bulan lalu itu bertujuan memudahkan kehidupan pengguna yang kini menghadapi gelombang baharu pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Dua pelan insurans mikro baharu yang eksklusif untuk pengguna Boost itu adalah GeneralProtect dan LifeProtect yang masing-masing ditaja jamin oleh Great Eastern General Insurance (Malaysia) Bhd dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd," katanya.

Menurut Boost, kedua-dua pelan itu didatangkan dengan pakej Basic dan Advanced.

Katanya, dalam tawaran tempoh terhad, pengguna boleh membelinya dengan menukar duit Boost bagi serendah 450 duit Boost hingga 31 Disember 2020.

"Sebagai manfaat nilai tambah, kedua-dua pelan ini disertakan sekali dengan Covid-19 Assist, iaitu program bantuan kewangan tambahan sekiranya pengguna dijangkiti Covid-19.

"Selepas didiagnosis, pengguna menerima bantuan tunai hospital harian RM200 sehingga 60 hari dan bantuan kewangan RM20,000 sekiranya berlaku kematian disebabkan Covid-19," katanya.

GeneralProtect adalah polisi bulanan yang menyediakan perlindungan kemalangan peribadi seluruh dunia 24 jam, manakala pakej Advanced juga menawarkan pampasan sehingga RM200, akibat ragut.

LifeProtect pula adalah polisi jangka satu tahun dan manfaatnya termasuk pampasan sehingga RM100,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi dan kematian akibat kemalangan.

Selain itu, RM200,000 untuk kematian akibat kemalangan semasa melakukan perjalanan dengan kenderaan persendirian.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, penyediaan perlindungan insurans mikro hanya permulaan bagi rancangan perkhidmatan kewangan digital melalui platform e-dompet Boost.

"Kami mempunyai rancangan yang lebih besar untuk memperluas perkhidmatan ini dalam beberapa tahun akan datang.

"Kami turut menyasar untuk menyokong komuniti digital dan mereka yang mengutamakan mudah alih yang sedang berkembang dengan memperkenalkan produk, perkhidmatan dan penyelesaian dan bernilai tambah di platform e-dompet kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 6:57 AM